Wednesday, October 8, 2008

Majlis Ulama tidak sesuai diwujud dalam Umno - Nik Aziz

KOTA BHARU, 8 Okt (Hrkh) - Umno tidak sesuai mewujudkan majlis ulama seperti disarankan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin memandangkan parti itu memisahkan agama dalam perjuangan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, majlis ulama hanya sesuai dengan gerakan Islam seperti PAS kerana sejak awal lagi konsisten memperjuangkan Islam.

"PAS sejak awal-awal lagi meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan, maka ulama berperanan penting dalam perjuangan PAS," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.

Mufti Perlis hari ini dilapor mencadangkan penubuhan Majlis Ulama dalam Umno untuk memastikan ahli-ahli parti tidak lari dari roh Islam dan menerima kuasa dengan penuh tanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS merujuk kepada Dewan Ulamak dalam setiap gerak kerja sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam Umno.

Selain itu PAS juga mempunyai Majlis Syura Ulama iaitu badan tertinggi dalam PAS yang memutus hala tuju gerakan Islam tersebut.

Dalam perkembangan lain beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan pada Ramadan lalu.

MAKLUMAT LANJUT

Tuesday, October 7, 2008

Ku Li cadangkan kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Sambil mempertegaskan lagi komitmennya untuk menawarkan diri sebagai Presiden Umno berikutan prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) meneroka kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan atau 'unity government' itu dicadangkannya untuk membolehkan negara keluar dari ketidaktentuan politik dan ekonomi yang dihadapinya kini, lapor The Star hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu memberitahu, beliau telah mengemukakan idea berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PR baru-baru ini.

Beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP DAP Lim Kit Siang.

Difahamkan Tengku Razaleigh dan Anwar telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu".

MAKLUMAT LANJUT