Tuesday, December 23, 2008

Pendedah Eurocopter, Abu Zahar sertai PAS hari ini

KUALA LUMPUR,24 Dis (Hrkh) - Bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Dato' Abu Zahar Hashim yang dikenali ramai sejak mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter sah menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi tadi.

Dalam masa yang sama Zahar turut 'mewakafkan' (infak) pejabat Bahagian Umno PJ Selatan kepada PAS kawasan sama. Difahamkan pejabat tersebut adalah milik beliau sendiri.

Sementara itu, Ustaz Nasharuddin mengalu-alukan kesudian beliau menyertai PAS sekaligus menghargai Zahar untuk sama-sama membantu kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu bermula 5 sehingga 17 Januari depan.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.-azm

Analogi hudud kelantan dan terengganu

Analogi Perkembangan Undang-undang Hudud Negeri Kelantan dan Terengganu Sehingga Diwartakan. Selepas Parti SeIslam Malaysia (PAS) berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pilihanraya 1990 dengan majority, Menteri Besar Kelantan Y.A.B Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menegaskan bahawa beliau akan memperkenalkan undang-undang hudud di negeri tersebut sebagai mengotakan janji beliau semasa pilihan raya. Pada 25 November 1993 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri oleh Y.A.B Tuan Guru Dato Seri Haji Nik Aziz Nik Mat. Dengan berkat Allah s.w.t, rang undang-undang hudud tersebut diluluskan dengan kesemua 39 ahli Dewan Undangan Negeri menyokong usul tersebut termasuk dua ahli dari parti pembangkang. Dengan pelulusan Rang undang-undang tersebut bermakna negeri Kelantan merupakan negeri pertama memperkenalkan Undang-undang Hudud di Malaysia selepas merdeka.

Rang undang-undang hudud tersebut telah mendapat perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan. Kerajaan pimpinan PAS hanya berupaya memperkenalkan rang undang tersebut selepas mendapat kemenangan selesa dalam pilihan raya.Satu suruhanjaya yang diketuai oleh peguam Tuan Haji Sulaiman Abdullah turut diwujudkan bagi menyiasat keesahan Rang Undang itu dan hasilnya,mereka sepakat bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 adalah tidak bercanggah dengan syariah.(4)

Hudud Kelantan merangkumi tujuh puluh dua perihal dan lima bahagian jadual yang dibahagikan kepada enam bahagian. Ianya ialah kesalahan hudud, qisas, jenayah, pelaksanaan hukuman, provisi am dan prosiding mahkamah syariah. Hukuman hudud dalam bahagian satu terbahagi kepada enam perihalan iaitu hirabah, zina, qazaf ( tuduhan terhadap kesalahan zina dimana tidak boleh dibawa 4 orang saksi), shrub (kesalahan minum arak) dan murtad (keluar agama Islam). Sebenarnya idea untuk melaksanakan hudud ini telah digagaskan oleh Menteri Besar Kelantan sejak kerajaan telah melahirkan hasrat untuk memperkenalkan hukuman hudud pada tahun 1991 lagi. Pengenalan hukuman hudud ini merupakan satu tindakan yang sangat berani dalam menegakkan kedaulatan agama Islam bahawa dengan pengenalan Kanun Jenayah Syariah II 1993, ianya telah melangkau bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri Kelantan juga mengumumkan bahawa Rang undang-undang tersebut disediakan oleh satu jawatankuasa dan disemak serta diluluskan oleh Jemaah Ulama Islam Negeri dan Majlis Melayu (MAIK) dan mufti negeri selepas mengambil kira semua aspek dalam Syariah Islam. Sejajar dengan itu, MAIK telah mengadakan pertemuan denagan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baik Islam dan bukan Islam untuk menerangkan fungsi undang-undang Hudud ini. Malah sami-sami Buddha terpegun dengan penjelasan Tuan Guru dan menerima rang undang-undang ini dengan sebulat hati selepas mendapati ianya tidak terpakai kepada orang bukan Islam. Namun orang bukan Islam boleh dibicarakan dibawah undang-undang Islam jika mereka merelakannya. Di sini menunjukkan bahawa undang-undang hudud ialah satu rang undang-undang yang adil dan saksama pelaksanaannya kepada semua pihak.

Namun Rang undang-undang hudud tidak dapat dikuasakan kerana mendapat bantahan keras daripada kerajaan persekutuan atas alasan undang-undang hudud tersebut bercanggah dengan undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakannya sebelum disetujui oleh Kerajaan Pusat.Merujuk kata-kata Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 20 April 1992 yang mnyatakan bahawa,"Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu."

artikel penuh

Mahfuz menang lawan Utusan

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Mahfuz, selaku plaintif, menfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan ketua pengarang kumpulan akhbar berpengaruh Utusan Malaysia (ketika itu) dan penerbitnya sebagai defendan-defendan.

Beliau mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2001.

Mahfuz mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat. Image

Beliau yang bertindak sebagai Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar dari segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah.-azm

Monday, December 22, 2008

Ketepikan ego politik, mansuhkan PPSMI - Khir Toyo

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Hrkh) - Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato' Seri Khir Toyo turut mempertikaikan keberkesanan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) dan menggesa agar sistem itu dimansuhkan dan 'mengembalikan' semula kepada Bahasa Melayu.

"Saya akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar.

"Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis," katanya dalam blog peribadi beliau baru-baru ini.

Katanya memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, beliau mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan PSSMI ini sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.

"Saya sedar betapa Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin menghadapi keadaan yang amat sukar untuk membuat keputusan. "Ini kerana walau apa pun keputusan yang dibuat ia akan tetap membangkitkan polemik baru. Tidak mungkin sesuatu keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak.

"Namun keputusan ini harus di buat atas kepentingan anak bangsa bukannya ego politik parti pemerintah mahu pun berdasarkan siapa yang paling kuat melobi," katanya.-azm _

4,749 pekerja bakal diberhentikan

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Hrkh)- Angka yang membimbangkan. Keadaan semakin 'kronik' dan seolah-olah membuktikan ekonomi dalam keadaan yang parah apabila kira-kira 102 syarikat telah memohon kepada Jabatan Buruh dan 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh tiga bulan, mulai Januari 2009.

Menurut laporan majikan yang bercadang memberhentikan pekerja, memotong gaji atau menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) perlu memberitahu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) 30 hari lebih awal.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata majikan wajib mengisi Borang Pemberhentian Kerja yang boleh didapatkan di pejabat-pejabat JTK atau dimuat turun di http://jtksm.mohr.gov.my.

Beliau berkata majikan yang ingkar boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.

"Kita telah menubuhkan pusat tindakan di setiap daerah bagi memantau syarikat-syarikat atau majikan yang mungkin menghadapi kesulitan kewangan semasa situasi ekonomi sekarang.

"Pegawai-pegawai kita akan melawat syarikat-syarikat ini dan menyediakan laporan mingguan yang akan dihantar ke pejabat negeri dan kemudian disusun di peringkat pusat.

"Ini akan membolehkan pasukan kita di peringkat bawah menentukan bahawa majikan memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja," katanya.

Bernama melaporkan Subramaniam berkata kementeriannya akan memastikan syarikat-syarikat membayar pampasan sewajarnya kepada pekerja yang diberhentikan iaitu gaji 10 hari bagi yang bekerja kurang dari dua tahun; 15 hari gaji bagi yang bekerja dua hingga lima tahun; dan 20 hari kerja bagi yang lebih dari lima tahun.

Beliau berkata kira-kira 102 syarikat telah memohon kepada Jabatan Buruh dan 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh tiga bulan, mulai Januari 2009, dengan kebanyakan mereka dari sektor elektronik.-azm _

Wednesday, December 17, 2008

Gurindam Nik Aziz buat pengundi Kuala Terengganu

KOTA BHARU, 18 Dis (Hrkh) - Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengemukakan gurindam untuk bakal pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu sebagai panduan sebelum mengundi.

Gurindam itu antara lain berbunyi:

Nak beri rasuah salah,
tak beri rasuah kalah,
akhirnya jadi serba salah,
kerana itu jom pakat undi PAS.

Beliau menyatakan perkara itu secara spontan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco pagi tadi ketika diminta mengulas berhubung persediaan PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil itu tahun hadapan.

Sebelum ini beliau pernah mengemukakan gurindam politiknya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan sebelum pilihan raya umum 1990 yang mahsyur sehingga kini.

Gurindam berkenaan antara lain berbunyi:

Beri duit ambil,
beri kain pakai,
beri gula kacau,
bila mengundi pangkah bulan.

Dalam masa yang sama beliau turut menyampaikan salam kepada seluruh warga pengundi Parlimen Kuala Terengganu supaya mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil itu pada 17 Januari tahun hadapan.

Menurutnya, tiada sebab calon PAS perlu ditolak dalam mana-mana pilihan raya memandangkan parti itu juga mampu melaksanakan apa yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Apa yang BN buat, PAS juga boleh buat, seperti pembangunan, nak jaga Melayu, kita juga boleh berbuat demikian, jadi tiada sebab Umno dan BN diberi peluang sekali lagi untuk memilih mereka.

"Sedangkan pada waktu yang sama Allah telah memberi ruang pada manusia menilai setiap apa yang ada di hadapan mereka, contohnya terhadap pentadbiran kerajaan PAS Kelantan,"ujarnya lagi.

Tuan Guru memberitahu, apa yang berbeza Umno memperjuangkan kebangsaan, sebaliknya PAS dasar Islam yang wajar disokong oleh semua pihak.

Tambahnya lagi, kerana keyakinan terhadap perjuangan PAS mereka menubuhkan Kelab Penyokong PAS dan bukannya kelab Umno walaupun sudah lama bersama parti itu.

Beliau juga berkeyakinan calon PAS dijangka akan memenangi dalam pilihan raya kecil itu nanti berikutan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku di dalam parti Umno dan kerajaan seperti perpecahan dan rasuah.

Sambungnya, masaalah itu merupakan petaka yang buruk dalam mana-mana Negara sekalipun termasuk Malaysia di mana ianya turut disebut dalam perlembagaan negara.

"Saya tidak kisah siapa yang bakal menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu nanti, mana-mana calon yang telah diputuskan dalam mesyuarat berhubung perkara itu wajar disokong.

"Cadangan calon terdahulu Mat Sabu (Mohammad Sabu) hanyalah pandangan peribadi saya saja, kalau nak letak orang lainpun jika itu keputusan mesyuarat parti tiada halangan," ujarnya lagi.

Ketika diminta mengulas berhubug calon bebas juga bakal bertanding dalam pilihan raya itu, PAS menerima dengan terbuka.

"Dia dah bebas, tak boleh nak cakap apa lah, dia bebaslah nak bertanding ke nak apapun," ujarnya lagi.

Tuan Guru turut menolak telah berlaku dua golongan dalam PAS di Terengganu sehingga menjadikan pilihan raya kecil itu nanti sebagai medan untuk menguji kekuasaan masing-masing.

"Itu hanya andaian musuh, oleh kerana musuh dalam keadaan kelam kabut sekarang, jadi pandai-pandailah dia mengadakan sesuatu pada parti lawan, itu memang dah jadi kaedah manusia.

"Biarlah lawan nak kata PAS sampai ada dua tiga kumpulan pun namun yang penting kita akan berdepan dengan senang hati," ujarnya.

Sepatutnya turun 48 sen dan harga minyak RM1.42 sahaja - Guan Eng

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Harga petrol sepatutnya diturunkan 48 sen kepada RM1.42 dan bukan diturunkan 10 sen sahaja, seperti yang dilakukan oleh kerajaan semalam, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut beliau, keputusan kerajaan menurunkan harga petrol sebanyak 10 sen kepada RM1.80 mulai semalam tidak menunjukkan harga pasaran sebenar, di mana harga pasaran minyak mentah dunia semasa berlegar sekitar RM157 satu tong (US$45).

Keputusan itu juga, katanya, tidak memberi kesan besar kepada peningkatan pendapatan orang ramai.

"Pada 2005, harga minyak mentah dunia berada sekitar RM164 setong (US$47) dan harga petrol di Malaysia adalah RM1.42 seliter.

"Jadi perkiraan yang sama perlu diguna pakai dalam menentukan harga semasa petrol di negara ini," kata Guan Eng.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya semalam, beliau juga meminta kerajaan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya menurunkan tarif elektrik berikutan harga bahan api yang semakin menurun sejak kebelakangan ini.

"Harga petrol sudah diturunkan beberapa kali sehingga RM1.80 tetapi tarif elektrik masih kekal seolah-olah harga petrol masih RM2.60 seliter," katanya.

Menurutnya, TNB menggunakan 60 peratus gas dan 40 peratus arang batu untuk menjana elektrik untuk keperluan pengguna.

"Harga gas menurun sedikit tetapi arang batu menurun lebih 50 peratus. Jadi TNB tidak mempunyai apa-apa lagi alasan untuk tidak menurunkan tarif elektrik," kata Guan Eng.

Beliau berkata, jika TNB mampu membayar RM4 bilion setahun kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) untuk tenaga yang tidak digunakannya, ia juga harus mampu menurunkan tarif elektrik kerana ia digunakan oleh keseluruhan rakyat negara ini._

Tuesday, December 16, 2008

selangor pembaca harakah tertinggi

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Hrkh) - Selangor dan Kuala Lumpur menduduki tempat teratas sebagai negeri yang mempunyai pembeli dan permintaan akhbar Harakah tertinggi yang mencecah 1.3 juta sebulan.

Ianya diikuti pula oleh negeri Perak yang mempunyai 560,000 pembeli Harakah, Kedah (422,000) dan Johor (360,000). Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar berpandukan kepada laporan awal pengurus pemasaran Shuhaimi Embong sewaktu sesi soal jawab 'post-mortem' Harakah dua kali seminggu bersama warga kerja dan pengedar Harakah di salah sebuah hotel dekat sini pagi tadi.

Dalam sesi itu juga, kolumnis tetap Harakah A. Shukor Harun melahirkan rasa kebimbangan 'trend' kebanyakan ahli PAS yang dilihat secara rambang tidak begitu membaca akhbar organ parti itu dan menggesa supaya satu kajian khusus dibuat punca situasi itu berlaku.

Selain itu beberapa wakil pengedar turut mmberi pandangan antaranya 'tarikan' muka depan, jenis berita-berita dan tumpuan perlu diberikan kpada negeri-negeri di bawah bayu seperti Sabah. Image

Sementara itu dalam sesi itu juga, kolumnis dan seniman terkenal Dinsman turut dijemput untuk berkongsi pandangan dan idea untuk meningkatkan kualiti dan jualan akhbar Harakah.

Antara pendapat beliau ialah 'Headline' Harakah selalunya bersifat politik seolah-olah hanya individu yang minat politik sahaja yang membaca Harakah secara tidak lansung PAS dan Islam digambarkan sebagai hanya berminat dengan politik berbanding budaya, pendidikan, ekonomi dan isu-isu sosial.

"Cuba sesekali buat 'headline' isu masyarakat semasa. Dengan cara ini boleh menampakkan yang Harakah itu bersama dengan isu masyarakat," katanya di hadapan warga kerja Harakah terdiri daripada para wartawan.

Beliau juga turut membangkitkan persoalan Harakah yang cenderung bersiat 'buletin parti' sehingga terlalu banyak berita aktiviti PAS yang tidak diketahui keutamaannya. Image

Dinsman juga turut memuji ruangan yang menarik dalam Harakah seperti '5 Soalan Panas', Interbiu Eksklusif dan Tamu Isnin-Jumaat' namun perlu diberi penekanan untuk diperbaiki kualiti persembahannya supaya pembaca minat dan faham isi kandungannya.

Sebelum itu Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar mahu objektif utama Harakah dan Harakahdaily tercapai di samping mestilah sentiasa dilihat terbuka, bebas dan benar dalam menyampaikan laporan kepada masyarakat.-azm _

Monday, December 15, 2008

Seleweng kuasa: BPR bersihkan menantu MB Kelantan

KOTA BHARU, 16 Dis (Hrkh) - Percubaan pihak tertentu untuk mempalitkan isu rasuah terhadap pemimpin kerajaan negeri dan anggota keluarganya ternyata tersasar apabila tiada kes yang mampu diketengahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) selepas siasatan dilakukan.

Begitu juga kes yang cuba dibabitkan menantu Menteri Besar, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman semalam disahkan BPR telah ditutup kerana tiada asas yang mampu diketengahkan.

Pengarah BPR Kelantan, Mohd Jaafar Hussen dilaporkan berkata dakwaan mengenai penyelewengan kuasa oleh Ariffahmi yang juga Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah ditutup setelah didapati dakwaan itu tidak berasas.

"Dari segi perundangan, kes berkenaan tidak ada kesalahan dan semua dakwaan itu tidak betul menyebabkan kes berkenaan ditutup," katanya.

Ariffahmi ketika dihubungi melahirkan rasa syukur kepada Allah swt kerana telah melindunginya daripada musibah dan membersihkan namanya dari tuduhan tidak berasas sebelum ini.

"Terima kasih di atas sokongan dan doa beterusan Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri serta kawan-kawan yang mengikuti kes ini.

"Saya memang menghadapi kes ini dengan tenang dan yakin ia akan selesai dengan baik.Terima kasih kepada pengarah dan pegawai BPR yang memberi layanan baik semasa siasatan dilakukan.Image

"Saya tetap komited dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri iaitu ubudiah, masuliah dan itqan yang mana ia memberi panduan manual kerja kepada saya untuk dunia dan akhirat," katanya.

Beliau juga memanjatkan doa supaya Allah swt memberikan hidayah, kemudahan, keberkatan dan kekuatan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Menurut beliau dengan selesainya kes tersebut, membolehkannya bekerja dengan lebih gigih bagi menjayakan misi dan agenda PMBK.

Katanya juga beliau mengalu-alukan sebarang teguran bagi kebaikan PMBK yang diterajuinya sekarang.

Sebelum ini ada beberapa kes yang cuba dibabitkan pemimpin kerajaan negeri dan pegawai dengan membuat laporan kepada BPR serta polis, namun belum ada yang mampu diketengahkan ke peringkat pendakwaan.

Begitu juga dengan siasatan polis terhadap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kenyataan pernah cuba dirasuah tauke balak ketika baru mengambilalih teraju pentadbiran kerajaan negeri, namun ia senyap sepi sehingga sekarang. - mj _

Pembangkang sokong SPRM dengan syarat

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, pembangkang akan memberikan sokongan penuh terhadap akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) dengan syarat perubahan dan penyesuaian penting dilakukan terhadap beberapa peruntukan dalam akta itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, akta baru itu tidak akan menyelesaikan masalah rasuah yang berleluasa dalam negara ini.

Kata beliau, pengenalan undang-undang itu terlalu sukar kerana melalui pengalamannya terlibat dengan penggubalan Akta Pencegahan Rasuah 1997, beberapa peruntukan gagal diperkenalkan kerana mendapat halangan daripada beberapa pemimpin.

"Saya lebih mirip untuk mendokong banyak peruntukan ini kerana secara kebetulan, saya terlibat secara langsung mengawasi dan membentang Akta Pencegahan Rasuah pada tahun 1997 yang begitu sukar dan kontroversi kerana tidak mendapat cukup sokongan dari rakan-rakan pada ketika itu," kata beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang SPRM 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, salah satu peruntukan yang harus dipinda dalam akta SPRM adalah penglibatan Jabatan Peguam Negara dalam proses pendakwaan di bawah Fasal 58, Bahagian 7 yang menyatakan pendakwaan sesuatu kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya.

"Menteri memberi penjelasan di dalam dan luar Dewan dengan meluahkan sebahagian kuasa memutuskan sebahagian pendakwaan kepada Peguam Negara, mengharapkan ada keupayaan untuk menyemak dan menghalang keterlanjuran pihak suruhanjaya.

"Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara terlalu terselaput dengan terlalu banyak tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Apatah lagi sekarang ini, Peguam Negara sendiri sedang menunggu pendakwaan terhadapnya. Saya difahamkan dengan maklumat yang cukup kuat bahawa BPR (Badan Pencegah Rasuah) telah pun mengemukakan laporan, menunggu sahaja keputusan untuk mendakwa yang tertangguh lama sebab ia melibatkan Peguam Negara," katanya.

Anwar berkata, kuasa penglibatan Peguam Negara dalam SPRM yang lebih 'kuat' daripada BPR ini menunjukkan integriti suruhanjaya ini masih terperangkap dengan kegagalan kerajaan membersihkan institusi pemerintahan pentadbiran.

Tegas beliau lagi, terdapat kes yang dibawa oleh BPR kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini ditutup begitu sahaja walaupun mempunyai bukti yang mencukupi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat. - mns_

AMK akan gempur habis-habisan PRK Kuala Terengganu

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) akan mengadakan gerak gempur menyeluruh di Kuala Terengganu sebagaimana dilakukan ketika menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dahulu bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihaknya telah pun menghubungi Ketua Pemuda PAS Terengganu dan akan mengadakan mesyuarat pemuda Pakatan Rakyat pada 17 Disember ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Menurut Shamsul antara yang akan di bincangkan nanti ialah penubuhan bilik gerakan, pengagihan dan atur cara ceramah, membantu semakan daftar pengundi dan pelbagi lagi tugas yang membabitkan kempen pilihan raya.

AMK akan pastikan gelombang kemenangan Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu turut melanda P36 Kuala Terengganu ini, katanya.

AMK akan menggabungkan seluruh AMK negeri-negeri untuk sama-sama turun berkampung di Kuala Terengganu untuk membantu dan bekerjasama erat dengan Dewan Pemuda PAS Terengganu bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat, katanya.

Kemenangan ini amat bermakna kepada Pakatan Rakyat justeru gerak gempur pemuda harus berjalan dengan baik dan berkesan di semua pelusuk di kawan Parlimen Kuala Terengganu, katanya.

Kata Shamsul jentera pemuda Pakatan Rakyat juga akan memastikan tidak terdapat kemasukan pengundi hantu pada sebelum atau pada hari membuang undi pada 17 Januari nanti. - mns_

Sunday, December 14, 2008

Terengganu masih teruskan saman royalti

KUALA TERENGANU, 15 Dis (Hrkh) - Kerajaan Terengganu belum menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat berhubung royalti petroleum dan gas tahun 2000 kerana perundingan penyerahan royalti masih berjalan.

Bagaimanapun agak meragukan apabila Kerajaan Terengganu dilaporkan menerima wang royalti minyak secara langsung daripada kerajaan Pusat sejak 2000, berjumlah RM6.218 bilion sebagaimana dijelaskan Menteri Besar Dato' Ahmad Said.

Apa yang dimaksudkan secara langsung tidak diketahui kerana sejak tarikh itu kerajaan Terengganu tidak lagi menerima wang royalti berkenaan seperti sebelumnya melainkan lebih RM400 juta diawal tahun berkenaan.

Bagaimanapun Dato' Ahmad berkata bayaran itu termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di sini, semalam.

"Pada masa ini, kerajaan Terengganu sedang menunggu senarai penuh perbelanjaan digunakan oleh kerajaan Pusat, yang melibatkan wang royalti minyak itu," katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu jumlah wang royalti minyak yang diterima kerajaan Terengganu dari 2000 hingga 2008, pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di sini semalam.

Ahmad berkata setakat ini, Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.

Beliau berkata RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain.

"Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion.

Wang ini akan dituntut kembali kerana beberapa senarai lain yang kita kehendaki masih belum disahkan oleh Kementerian Kewangan.

"Insya-Allah, setelah kita mendapat senarai lengkap ini, rundingan terakhir dengan kerajaan Pusat untuk menuntut kembali hak kita, iaitu baki yang ada dapat dilaksanakan," katanya.

Ahmad berkata kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.

"Sebab itu, sehingga kini kita belum menarik balik saman kerajaan Terengganu terhadap kerajaan Pusat," katanya menjawab soalan tambahan Dato' Harun Taib (PAS-Manir), yang ingin tahu kenapa wang royalti itu disimpan kerajaan Pusat.

Saman terhadap kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh PAS pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004. -

Ali Rustam terdesak tarik balik larangan lawat Kelantan

KOTA BHARU, 14 Dis (Hrkh) - Lapan tahun lalu, Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam melarang kakitangan kerajaan negeri terbabit melawat Kelantan, namun beberapa hari lalu tegahan itu tiba-tiba ditarik balik.

Apakah motif tersebut, sedangkan tindakannya sebelum ini jelas bersifat dendam politik.

Biar pun larangan itu mengambil masa selama lapan tahun, namun ia seperti tidak pernah diendahkan kakitangan kerajaan Melaka apabila banyak rombongan datang di sini ketika larangan masih berkuatkuasa.

Malah, Mohd Ali sendiri keluar masuk kampung di Pasir Mas ketika berlangsung pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada Disember 2005.

Bagi Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka itu disifatkan sebagai seorang yang hipokrit dan menjadi pengampu besar dalam Umno.

"Negeri-negeri lain yang juga diperintah Barisan Nasional tidak pernah melarang kakitangan mereka melawat Kelantan seperti dilakukan Mohd Ali.

"Tindakan terbarunya tidak lain lagi kerana mahu menonjolkan diri kononnya sebagai seorang pemimpin yang terbuka bagi melayakkannya dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan," katanya di sini.

Baru-baru ini Mohd Ali mengumumkan menarik balik larangan kepada kakitangan kerajaan Melaka daripada melawat Kelantan ketika melancarkan Tahun Melawat Melaka di sini.

Abdul Latif berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri tidak nampak Ketua Menteri Melaka itu ikhlas apabila tiba-tiba menarik balik larangan kakitangannya daripada melawat Kelantan.

"Sebenarnya keputusannya itu mempunyai hasrat terselindung bagi mencari penyokong di kalangan perwakilan Umno di negeri ini untuk mencapai impiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri," ujarnya.

Bagaimanapun beliau menyambut baik tindakan dilakukan Mohd Ali dan mendoakan semoga diberi hidayah oleh Allah Taala supaya kembali ke landasan Islam sebenar. - mj _

Wednesday, December 3, 2008

Segera wartakan Fatwa Haram Rokok - Teras

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh)-Teras pengupayaan Melayu (Teras) mengesa agar fatwa rokok yang telah diisytiharkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat negara ini.

Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata gejala merokok adalah musibah yang sangat jelas dari pelbagai segi sehingga setiap tahun kira-kira 100,000 orang mati yang dikaitkan dengan penyakit akibat merokok.

Katanya setiap tahun rakyat Malaysia berbelanja RM2 bilion untuk merokok manakala kerajaan pula terpaksa mengeluarkan perbelajaan berbilion ringgit lagi untuk merawat mereka yang menjadi mangsa dari penyakit yang dikait dengan merokok.

"Kesan sosial kepada anak muda juga sangat jelas. Kini generasi muda yang terjebak dengan tabiat merokok terdedah kepada jerat dadah yang semakin meningkatkan kes penagihan dadah dari sehari ke sehari di kalangan generasi tunas ini.

"Kita juga tidak dapat menafikan kos penyelanggaran untuk memungkinkan perokok disediakan tempat merokok dan membersih sampah dari rokok yang juga menelan belanja yang sepatutnya disalurkan kepada urusan masyarakat yang lebih bermanfaat," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakah.

Bahaya rokok yang menyebabkan kebakaran juga tidak kurang memperkukuhkan mudharat kenapa fatwa ini bukan sahaja mempunyai nas naqli malah juga nas akli, kata Azmi

Lantaran itu katanya penyemakan semula terhadap fatwa ini tidak wajar diadakan sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mempastikan perwataan fatwa menjadi undang-undang yang rasmi dan menentukan mekanisme penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar undang-undang tersebut.

Negara seperti Thailand, Singapura dan Kanada sudah jauh kehadapan dalam memperketatkan undang-undang mengenai rokok dan merokok berbanding kita malah Malaysia sendiri telah menjadi salah sebuah Negara yang menandatangani sebuah Konvensyen antarabangsa mengenai kawalan rokok, kata Azmi

"Kita tidak dapat menerima alasan mereka yang bertanggungjawab yang masih melengah-lengahkan tindakan untuk mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri.

"Fatwa ini akan memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh umat Islam memandangkan hukum agama, walaupun ada yang melanggarnya, namun boleh memberi impak yang kuat untuk membasmi tabiat yang memudaratkan ini dari terus dibudayakan," katanya.-Hrkh _

Calon Kuala Terengganu, Nik Aziz mahu Mohamad Sabu

KOTA BHARU, 3 Dis (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan datang.

Katanya, memandangkan Mohamad telah bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini, tidak ada sebab untuk beliau dicalonkan sekali lagi, dalam pilihan raya kecil yang akan datang.

"Kalau boleh saya nak begitu, (kekal calon) sebab di Parlimen ni kena ada orang sepeti Mat Sabu (Mohamad) kerana lidah dia lantang, isu yang ditonjolkannya juga bukan dibuat-buat, tetapi realiti.

"Saya sudah lama menjadi penceramah dan sekarang pun saya masih berceramah, tetapi lidah saya tidak sehebat Mat Sabu,"ujarnya.

Tambahnya, itu berlaku kerana setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing,

"Saya ada cara saya, tetapi kalau di Parlimen ni baik Mat Sabu,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau juga berkeyakinan Mohamad akan bergelar 'yang berhormat' selepas itu kerana akan mendapat kemenangan dalam pilihan raya kecil itu walaupun tewas baru-baru ini berdasarkan perkembangan semasa.

Lagipun katanya, tiada sebab orang Melayu dan Islam itu sendiri tidak memilih perjuangan PAS.

Sambungnya, bagaimanapun keputusan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti belum lagi diputuskan memandangkan mesyuarat berhubung dengannya belum diadakan.

"Itu (cadang pilih Mohamad Sabu), hanya pandangan peribadi saya saja, keputusannya hanya akan ditentukan dalam mesyuarat PAS Pusat nanti,"ujarnya lagi. - mks. _

Pemecatan Zaid sudah dijangka - Nuridah

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) - Pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim daripada Umno yang berkuatkuasa serta merta tidak memeranjatkan sebaliknya memang sudah dijangkakan.

Demikian pandangan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang telah menjangkakan pemecatan terhadap Zaid daripada menjadi ahli Umno.

Ini dapat dilihat katanya daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga beliau sanggup meletakkan jawatan jika ISA diteruskan.

Beliau berkata, penentangan Zaid terhadap ISA itu telah memberi tamparan hebat terhadap pimpinan Umno.

Sehingga semalam katanya, pimpinan Umno terutama Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak masih mempertahankan ISA kerana ia kononnya menjaga keselamatan negara daripada pengganas.

Menurut beliau, kehadiran Zaid di Kongres Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini mempercepatkan proses pemecatannya.

"Pihak Umno memang menunggu saat untuk memecat Zaid, manakala Zaid pula mungkin sudah bersedia untuk dipecat," katanya.

Sehubungan itu, Nuridah mengajak Zaid menyertai PAS kerana PAS tidak pernah berganjak menentang ISA dan akan terus menentang sehingga hukuman rimba itu dimansuhkan. - mns _

Tuesday, December 2, 2008

Zaid Ibrahim dipecat,Zahar digantung 3 tahun

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) -Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno serta merta malam tadi.

Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan Presiden Umno berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam tadi.
Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.
Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional KeADILan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti.
Zahar sebelum ini telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Abdullah yang didakwa telah menyalahguna kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pemilihan parti dan pencalonan.
Beliau juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses tender kerajaan untuk membeli helikopter baru bagi Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM). - mks._

Satu sistem pendidikan:Nurul Izzah bidas Mukhriz

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (keADILan) membantah keras kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir berkenaan "pelaksanaan satu sistem pendidikan" yang dilihat cuba mengapi-apikan sentimen perkauman bagi membantu kempennya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti tersebut.
Iklan

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata adalah wajar memperkasa sistem pengajian sekolah kebangsaan di samping mempertahan dan meninggikan sistem sekolah Rendah Jenis Kebangsaan memandangkan Malaysia sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.
"Kita menghormati hak kaum masing-masing untuk mempelajari bahasa ibunda dan menggalakkan perkembangan pelbagai kebudayaan serta kesenian di negara ini sekaligus dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. katanya dalam satu kenyataan.
"Cadangan Mukhriz jelas berniat menonjolkan dirinya sebagai "pejuang bangsa Melayu" supaya menang Ketua Pemuda Umno pada Mac tahun depan, bukan sahaja membantutkan perkembangan pendidikan pelbagai aliran, malah turut menjejaskan hubungan sesama kaum,"katanya dalam satu kenyataan.
Katanya jika Mukhriz benar-benar seorang "pejuang bangsa Melayu", beliau seharusnya menentang Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris (PPMSI) yang menyebabkan kemerosotan mutu pendidikan khususnya di kalangan masyarakat Melayu luar bandar yang miskin, dan bukan menghapuskan aliran pendidikan lain.
Hakikatnya kata Izzah sebagai calon yang bakal memimpin barisan Pemuda Umno, Mukhriz telah gagal mengemukakan pandangan yang lebih terbuka dari segi pendidikan tetapi mengikut jejak lama pemimpin sekarang yang bersifat perkauman, malah lebih ekstrim bagi melanjutkan polisi perkauman Umno-BN.
"Kita menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan provokasi Mukhriz yang cuba mengapi-apikan pergaduhan kaum demi kepentingan politik sendiri, dan terus menggesa kerajaan BN kembali kepada sistem pendidikan yang adil kepada semua," katanya.-Hrkh _