Tuesday, November 10, 2009

Hasan terima surat tunjuk sebab

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui telah menerima surat tunjuk sebab daripada jawatankuasa disiplin parti berhubung beberapa isu kontroversi di negeri itu.

Ditemui wartawan selepas pembentangan bajet di DUN Selangor hari ini, beliau yang juga exco hal-ehwal agama Selangor mengesahkan telah menerima surat tersebut semalam.

hasan ali umno pas selangor talk quality hotel 300708 05ADUN Gombak Setia, yang enggan mengulas kandungan surat berkenaan, bagaimanapun berkata beliau akan memberi jawapan kepada jawatankuasa tersebut dalam bentuk bertulis.

"Tidak perlu tahulah, itu hal dalaman parti," katanya di lobi bangunan DUN Selangor petang ini.

"Apa yang diminta itulah saya akan kemukakan. Selepas itu, terserah kepada jawatankuasa disiplin."

Jelasnya, beliau tidak bimbang dengan keputusan yang bakal diambil oleh jawatankuasa berkenaan.

"Perkara itu bukan susah sangat, benda yang nak dijawab itu sudah jelas.

"Tidak ada apa yang saya rasa ada keraguan atau kebimbangan. Benda ini biasa," katanya lagi.

Pengerusi jawatankuasa disiplin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini dilaporkan berkata surat tunjuk sebab itu dihantar kepada Dr Hasan dan beberapa lagi pemimpin.

Keputusan menyiasat PAS Selangor dicapai dalam mesyuarat khas jawatankuasa pusat PAS pada 28 Oktober lalu yang diadakan susulan desakan Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar muktamar khas dipanggil bagi membincang "beberapa kerat pemimpin bermasalah", termasuk Dr Hasan.

Jika didapati bersalah, Dr Hasan boleh dikenakan tindakan penggantungan keahliannya dalam PAS atau dipecat daripada parti itu, Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata.

Beberapa kenyataan pemimpin PAS Selangor itu, yang dianggap tidak selari dengan kepentingan kerajaan Pakatan Rakyat negeri, diungkit semula baru-baru ini susulan kemerosotan undi parti pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Kenyataan Dr Hasan itu yang dianggap negatif, antaranya, melibatkan isu jualan minuman beralkohol dan siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Thursday, November 5, 2009

Asri: PGSM janji mohon maaf, tarik balik tuduhan

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah memberi jaminan bertulis untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik semua tuduhan terhadapnya.

Katanya, jaminan bertulis itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya oleh Presiden PGSM, Mohd Isa Abd Ralip selepas pertemuan dua jam di sebuah hotel di ibunegara petang semalam.Dr Mohd Asri berkata, jaminan bertulis itu juga turut ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi halehwal Islam, Datuk Mohamad Jamil Khir Baharum sebagai saksi.Katanya, pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz turut menghadiri pertemuan tersebut.
Menurutnya lagi, beliau akan menunggu PGSM memohon maaf secara terbuka kepadanya dengan disiarkan dalam lamanweb rasmi persatuan tersebut dan melalui saluran media yang lain.Bercakap kepada pemberita selepas satu forum di Pulau Pinang malam tadi, Dr Mohd Asri berkata sekiranya persatuan tersebut memohon maaf dan menarik balik semua tuduhannya terhadapnya, maka beliau bersedia memaafkan mereka.
Ditanya sama ada beliau akan meneruskan tindakan menyaman PGSM jika persatuan itu gagal berbuat demikian, Dr Mohd Asi berkata beliau akan tunggu dan lihat apa pula alasan mereka, sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, beliau percaya, PGSM akan mengotai jaminan bertulisnya untuk berbuat demikian.Sebagai sebuah persatuan Islam yang mewakili peguam Islam, Dr Mohd Asri percaya PGSM akan mengotai janjinya.Sebelum itu, PGSM telah menghantar memorandum - yang disokong oleh 13 NGO Islam - kepada Yang di-Pertuan Agong membantah cadangan pelantikan Dr Mohd Asri sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Mereka membantah cadangan pelantikan Dr Mohd Asri ke jawatan tersebut atas alasan beliau telah menghina beberapa ulama Islam.Berikutan itu, Asri telah menggesa persatuan tersebut mengemukakan bukti yang beliau telah menghina ulama besar Islam seperti Imam Nawawi, Imam Bukhari dan Imam Ghazali.Dr Mohd Asri berkata, presiden PGSM telah menemuinya hari ini untuk mencari penyelesaian berhubung perkara tersebut.Dalam pertemuan tersebut atas inisiatif menteri berkenaan, Dr Mohd Asri berkata, beliau menuntut permohonan maaf secara terbuka dan semua tuduhan terhadapnya ditarik balik.
Katanya, ini kerana semua tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak masuk akal serta berunsur fitnah terhadapnya.Sementara itu, katanya, Wan Sheikh pula menjelaskan kepadanya bahawa kenyataan seorang pegawainya, Zamihan Mat Zain, mempertikaikan ketulenan ijazah sarjana muda bekas mufti Perlis itu dari Universiti Jordan, bukanlah pandangan Jakim."Ketua pengarah Jakim itu memberitahu saya bahawa Zamihan bercakap atas kapasiti peribadinya," kata Dr Mohd Asri.

Sunday, November 1, 2009

Pulihkan segera keyakinan terhadap sistem kehakiman, SPRM dan polis

Gerakan - salah sebuah parti komponen BN - menegaskan bahawa amat perlunya pemulihan secepat mungkin keyakinan rakyat terhadap tiga institusi utama dalam kerajaan - sistem kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata langkan itu amat perlu selain daripada memperbaiki sistem penyampaian sektor awam.

Berucap di persidangan perwakilan nasional Gerakan ke-38 di ibunegara hari ini, beliau berkata, penubuhan suruhanjaya pelantikan kehakiman (JAC) satu permulaan yang baik.

"Kami juga mengalu-alukan tindakan Ketua Hakim Negara baru-baru ini dalam menambahbaikkan prosedur mahkamah dan bercadang menyingkir hakim-hakim yang berprestasi rendah.

"Walau apapun, banyak lagi harus dilakukan," tambah Dr Koh. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Koh berkata, dengan program transformasi kerajaan (GTP) memberi fokus kepada pencegahan gejala rasuah dan jenayah sebagai dua bidang keberhasilan utama nasional (N-KRA) yang penting, institusi seperti SPRM dan Polis harus belajar dari insiden dan persepsi negatif terhadap pendakwaan yang tidak berkesan atau memilih bulu, secara cepat dan berkesan dan memulihkan kredibiliti dan kecekapan institusi di mata rakyat.

"Bagaimanapun, untuk memerangi rasuah dan jenayah memerlukan kesanggupan politik. Gerakan mengaku janji akan terus memberi sokongan kepada kerajaan dan pucuk kepimpinan Barisan Nasional dalam usaha untuk memerangi rasuah dan jenayah," tegasnya.

Beliau berkata, apa yang berkaitan rapat dengan isu rasuah ialah keberkesanan tanggungjawab dan ketelusan kerajaan secara umum.

Laporan ketua audit

"Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan pembaziran dan ketirisan yang begitu ketara, serta kos yang melebihi had, kecacatan dalam infrastruktur dan bangunan Kerajaan dan lain-lain, Gerakan menggesa supaya siasatan yang menyeluruh dan tindakan keras perlu diambil.

Di sebaliknya, terdapat pula beberapa contoh kecemerlangan, misalnya, Jabatan Imigresen sanggup mengeluarkan pasport dalam tempoh masa tiga jam yang kini merupakan satu rekod dunia.

"Sekiranya Jabatan Imigresen dapat meraih pencapaian ini, tidak ada sebab mengapa jabatan-jabatan lain tidak dapat meraih kejayaan serupa," katanya.

Dr Koh berkata, selain penyampaian dan perkhidmatan yang cepat, rakyat juga mengharapkan dan menuntut layanan yang saksama, mesra, bersopan santun dan memberi hormat.

Katanya, slogan 'rakyat didahulukan' bukan sahaja untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat, tetapi adalah untuk memenangkan hati rakyat.

"Ia bukan sahaja untuk mencapai kesan hasil yang cepat, tetapi juga untuk memberi layanan yang baik. Oleh kerana majoriti kakitangan sektor awam, termasuk pegawai-pegawai penguatkuasaan, adalah orang Melayu, layanan yang tidak adil atau kurang sopan selalunya dipandang sebagai amalan perkauman.

"Sehubungan itu, selain dari memperbaiki keberkesanan dan kesantunan, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk memastikan campuran kumpulan etnik yang sihat wujud dalam sektor awam. Sesungguhnya, Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah benar-benar Perkhidmatan Awam 1Malaysia," tambahnya.

Dalam ucapannya itu, Dr Koh turut menyentuhkan soal cabaran besar yang dihadapi kerajaan dan BN, hatuju parti Gerakan, isu ekonomi dan perpaduan kaum.

Berikut adalah sedutan teks ucapan Dr Koh:

Sepertimana yang kita sedari, kita kini berada dalam satu era yang penuh dengan rentetan perubahan serta cabaran-cabaran besar. Dalam dua tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan kekecamukan ekonomi dan politik yang melanda negara-negara di serata pelusuk dunia, dan ini dikalutkan lagi oleh tragedi-tragedi bencana alam dan penularan penyakit yang menggugat insan. Sesungguhnya, era ini amatlah mencabar bagi ramai orang dan banyak kerajaan di seluruh dunia. Kerajaan di banyak negara berhempas pulas untuk menangani kehendak-kehendak rakyat di mana sikap kritikal terhadap kerajaan lahir dari golongan masyarakat yang kini lebih berpelajaran dan bermaklumat. Perubahan politik sudah melanda beberapa negara dan Malaysia tidak terkecuali. Cara lama yang pada suatu ketika dahulu sememangnya berhasil bahkan pernah menyampaikan "keajaiban" tidak lagi berkesan pada masa kini dan di masa hadapan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kerajaan gabungan seperti kita harus bersedia untuk berubah atau bersedia untuk diubah. Malah, kita tidak mempunyai pilihan selain dari berubah, dengan seberapa segera, untuk kepentingan rakyat Malaysia, bukanlah untuk kita sendiri.

Dalam ucaptama saya di persidangan kita pada tahun lepas, ekoran dari suara rintihan ramai anggota masyarakat dan parti, saya telah menggesa supaya lebih banyak pembaharuan diperkenal dan dilaksanakan, selain apa yang telah dimulakan pada masa itu. Pembaharuan-pembaharuan yang disebut termasuklah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan kesaksamaan pendapatan yang lebih baik; integriti yang lebih kukuh, keberkesanan dan ketelusan dalam Kerajaan; keamanan dan keselamatan untuk semua; keharmonian antara agama dan perpaduan antara etnik yang lebih kukuh; serta ruang demokratik yang lebih besar. Kami amat bergembira dan bersyukur kerana banyak permintaan yang disebutkan tadi sedang ditangani melalui beberapa pengumuman yang dibuat dan tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri yang baru dalam tempoh tujuh bulan yang lalu. Perubahan ini telah dilahir dan berpandukan kepada semangat dan komitmen "1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan." Sudah sampai masanya untuk tindakan dan penyampaian hasil-hasil yang nyata dan benar.sumber