Kartunis kontroversi, pemimpin majalah Gedung Kartun yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), melancarkan karya terbarunya, satira politik semasa Perak Darul Kartun.Zulkiflee Anwar Haque, atau lebih popular dikenali Zunar, berkata karya terbaru ini diterbitkan dalam bentuk buku yang tidak memerlukan permit penerbitan daripada KDN.
"Penyambungan penerbitan ini dalam bentuk buku membuktikan pihak kami tidak berhasrat untuk berkonfrontasi dengan KDN kerana itu bukanlah matlamat kami."Matlamat kami adalah menghasilkan karya-karya alternatif dalam konteks Malaysia dengan isu-isu dan pendekatan yang selama ini gagal diketengahkan oleh karyawan negara ini termasuk kartunis," katanya ketika mengumumkan karya itu di pejabatnya hari ini.
Buku setebal 80 muka surat itu hasil usaha enam kartunis – Ronasina (atau, Mohd Affandi Ramli), Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad), Orangorang (Azlan Isa) dan Naza (Nazruddin Abu Bakar) – yang diketuai kartunis popular dan berpengalaman luas itu.Karya itu mensatirakan krisis politik di Perak sejak rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat oleh BN awal Februari lalu sebagai fokus utamanya, selain sumbangan beberapa penulis seperti Sasterawan Negera Datuk A Samad Said, penganalisis politik Dr Farish A Noor dan juga penulis kolum Malaysiakini Hishamuddin Rais.
Perak Darul Kartun memuatkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mundar-mandir dalam kegelisahan sambil menyebut perkataan "bala, bala" apabila menyedari penyiasat persendirian P Balasubramaniam membuat dakwaan baru terhadap adiknya Datuk Mohamed Nazim dan isterinya Rosmah Mansor. Balasubramaniam, mencipta kontroversi awal Julai tahun lalu, apabila menarik balik dalam tempoh 24 jam tuduhan awalnya bahawa Najib berskandal dengan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang mati dibunuh 2006.
Buku humor itu juga memaparkan karikatur pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membuat serbuan untuk menahan penceramah agama – dipercayai mensatirakan kes penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, awal November lalu.Selain itu, ia turut menyindir bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, ADUN Bagan Pinang yang menang baru-baru ini dengan menggambarkan beliau sebagai "statue of liability" – satira 'statue of liberty' di New York – yang mejulang wang sambil memegang "kitab rasuah teknikal" Umno.
Selain itu, buku ini juga melanjutkan siri nostalgia era Gerakan Reformasi 1998 seperti yang dimuatkan dalam Gedung Kartun. Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli-ahli politik lain yang disinggung termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri S Samy Vellu, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan Tian Chua.
Pada 25 Ogos lalu, sekumpulan pegawai penguatkuasa KDN menyerbu pejabat majalah Gedung Kartun di Brickfields, Kuala Lumpur susulan penerbitan edisi sulungnya yang menyindir keras perdana menteri.KDN beberapa hari kemudian turut menyerbu syarikat percetakannya di Seri Kembangan, Serdang susulan penerbitannya yang, antaranya, memaparkan gelagat Najib yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.Dalam sidang media di pejabat itu juga, Zunar berkata 10,000 naskhah buku ini sudah diedarkan sejak kelmarin dengan harga RM10 seunit dan merancang menerbitkan siri buku humor tersebut setiap bulan dengan fokus dan nama berbeza.Tambahnya, ia juga boleh dibeli melalui laman web cartoonkafe.com yang diuruskan oleh syarikatnya.
Ditanya mengenai hasil penjualan Gedung Kartun, Zunar berkata sambutan terhadap majalah tersebut "sangat memuaskan".Zunar berkata, pihaknya terpaksa mencetak 5,000 naskhah lagi selepas 10,000 naskhah awal habis dijual.Diminta mengulas sama ada beliau masih ingin memohon permit KDN, beliau berkata, pihaknya akan terus berbuat demikian dan "terpulanglah kepada KDN untuk memberi atau tidak.""Isu sekarang, bukan (kami) tidak minta, tetapi kita minta, tapi tidak diberi.
Kalau tidak minta (permit) langsung, memang betul (tidak akan diberi). "Saya rasa cara meminta permit, sudah lapuk. Ia dijadikan hak prerogatif oleh KDN, iaitu terpulang kepada KDN hendak beri atau tidak. Alasan tidak pula diberitahu," katanya lagi.Zunar baru-baru ini mengeluarkan 1Funny Malaysia, himpunan karikaturnya yang disiarkan di laman web Malaysiakini. Ia dijual dengan harga RM20 di pejabat akhbar web itu di Bangsar Utama, Kuala Lumpur.