Monday, July 13, 2009

Nik Aziz isytihar esok cuti umum

Kelantan mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi semua penjawat awam yang bekerja di negeri itu selepas mengambil kira kepentingan umum, memandangkan pilihanraya kecil DUN Manek Urai.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hari mengundi yang ditetapkan esok boleh menimbulkan banyak kesulitan kepada pengundi kerana ia diadakan pada hari bekerja, lapor Bernama.

"Saya isytihar esok 14 Julai (Selasa) sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kelantan, diambil atas sebab 'cuti peristiwa'.

"Dalam semangat prodemokrasi, kami mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian," Nik Aziz dipetik berkata.

Pilihanraya kecil kerusi DUN itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Ia diadakan susulan kematian ADUN PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei
lepas.

Bercakap di sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu hari ini, Nik Abdul Aziz berkata cuti semasa pilihan raya kecil bukanlah perkara baru, malah pernah dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu.

"Saya tidak tahu mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan hari mengundi pada hari bekerja, sepatutnya (diadakan pada) hari cuti mingguan dan cuti sekolah," katanya seperti dilaporkan.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau seterusnya menasihatkan pengundi kawasan DUN Manek Urai supaya beramai-ramai keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab itu "sebagai satu
ibadah".

Tambahnya, beliau bersyukur orang ramai kini semakin matang berpolitik apabila tidak berlaku sebarang kejadian tidak ingini sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut sehingga ini.

0 comments: