Monday, September 28, 2009

Imam bukan Wahabi ditukar?

Arahan pertukaran beberapa orang imam di Perlis baru-baru ini telah mencetuskan tanggapan mengenai kemungkinan wujudnya usaha untuk memperluaskan fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai Wahabi.

Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Perdebatan agama sentiasa tercetus di negeri itu ekoran terdapat fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan dalam fahaman 'Sunnah Perlis; antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah, tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh, manakala bacaan bismillah sebelum bacaan al-Fatihah dalam solat, dibaca secara perlahan, berbanding yang diamalkan dalam Mazhab Shafie.

Walaupun Perlis menerima 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' dalam undang-undang tubuh negeri itu, tetapi sejak 40 tahun lalu, ia tidak dikuatkuasakan. Ia juga diterima sebagai tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagaimanapun, sehingga ini Malaysiakini difahamkan sebahagian besar atau 65 peratus daripada kira-kira 100 masjid di Perlis, tidak mengamalkan 'Sunnah Perlis' tersebut kerana mereka berpegang sepenuhnya kepada ajaran Mazhab Shafie.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa dua imam di sebuah masjid di Kangar itu - Masjid Al-A'la Behor Temak - yang tidak mengamalkan fahaman 'Sunnah Perlis' - telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu.

Menurut sumber, fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' itu mula digiatkan kembali apabila Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjadi mufti Perlis.

Sumber itu juga mendakwa, mufti sekarang Dr Juanda Jaya, turut meneruskannya.

'Tidak beri alasan pertukaran'

Menurut sumber tersebut, dalam surat yang ditandangani pengarah JAIPs, Malik Hussin, itu juga tidak menyatakan sebab pertukaran itu dengan jelas, tetapi sebaliknya memberikan alasan ia merupakan penyelarasan dan penyusunan semula imam di Perlis.

"Sekarang mereka mula dengan Masjid Al-A'la Behor Temak dulu, nak tengok respons (masyarakat) dulu," katanya sambil menambah, dua lagi masjid di Kangar, Masjid Behor Empiang dan Masjid Jalan Guar Syed Alwi bakal menjadi sasaran seterusnya.

"Mereka sudah pergi dan maklumkan kepada masjid-masjid tersebut," kata sumber itu lagi.

Menurutnya, fahaman tersebut tidak pernah dikuatkuasakan sepanjang Datuk Alim Panglima Mat Jaya Hussin menjadi mufti selama 22 tahun di negeri itu sebelum ini.

Manakala Dr Mohd Asri pula hanya mengeluarkan "fatwa" supaya ajaran itu diikuti, tanpa mengambil tindakan menukarkan imam masjid.

Difahamkan, sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga imam masjid di Behor Temak itu meletakkan jawatan pada 31 Ogos, walaupun hanya dua daripada mereka yang terbabit dalam pertukaran tersebut.

Penduduk hantar memo


Beberapa penduduk setempat juga membantah arahan pertukaran JAIPs dan telah menghantar surat rayuan bertarikh 14 September lalu dan memorandum bantahan yang ditandatangani kira-kira 200 penduduk. Ia diposkan kepada JAIPs Sabtu lalu.

Difahamkan juga, beberapa tokoh dalam majlis agama negeri itu dan NGO - Institut Sunnah Perlis - dikaitkan sebagai usaha menggiatkan pengembangan fahaman tersebut.

Di segi sejarahnya, aliran Wahabi diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 dan popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania.

Di Malaysia, ia mula dikembangkan oleh tokoh-tokoh yang dikenali sebagai gerakan Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada 1957.

Aliran itu dikembangkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah - tokoh pembaharuan Islam pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW - yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid'ah dalam Islam.sumber

Tuesday, September 15, 2009

khir toyo Saya tidak sembunyi apa-apa

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, beliau memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak berniat menyembunyikan sesuatu.

"Saya sudah berikan kerjasama penuh. Saya berikan bil-bil yang diminta," katanya kepada Malaysiakini.

"Saya tiada apa hendak disembunyikan. Dan ini bukan kali pertama saya dipanggil. (Tetapi) sudah empat, lima kali."

Ketua pembangkang Selangor diminta mengulas siasatan SPRM selama enam jam berhubung lawatannya bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad ke Maghribi pada 2004 dan isu pembinaan banglo mewahnya di Seksyen 7 Shah Alam yang menjadi kontroversi Julai lalu (foto bawah).

Menjelaskan tempoh masa siasatan itu, Dr Mohamad Khir berkata: "Tidak sampai enam jam, (cuma) campur dengan sembang-sembang."

Beliau enggan menjelaskan lebih lanjut keterangannya di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sejak pukul 8.30 pagi semalam kerana perkara itu masih lagi dalam siasatan.

Dihubungi hari ini, beliau bagaimanapun menafikan disiasat berhubung penggunaan dana Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Selangor (Balkis) ke Amerika Syarikat seperti dilaporkan media.

"Tidak ada kena mengana dengan Balkis, cuma tentang lawatan ke Maghribi," katanya.

Tambahnya, beliau ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu berhubung laporannya yang didakwa tidak tepat.

"Saya sudah hantar surat tuntutan (guaman). Kalau ia tidak jawab dalam masa 14 hari, kita failkan saman," katanya.

Beliau, yang juga ADUN Sungai Panjang, turut dilaporkan mengelak daripada wartawan dan jurugambar – selepas siasatan tersebut pada 2.30 petang – yang menunggu di lobi ibu pejabat SPRM dengan menggunakan laluan paras bawah tanah.

Dr Mohamad Khir menafikannya dengan memberi alasan tidak tahu-menahu dengan kehadiran kumpulan petugas media yang menunggunya sejak dari jam 8 pagi.

"Saya tidak tahu ada wartawan tunggu. Kalau tidak, tentu saya buat sidang media di situ. Lagi pun, saya tidak berapa sihat. Saya demam," katanya, yang kini dilantik ketua pemikir Umno negeri dalam badan perhubungan parti itu.

"Jadi, saya parkir tempat paling dekat dengan lif di tingkat bawah tanahlah."

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula bagi melengkapkan siasatan kes itu, Dr Mohd Khir berkata beliau tidak tahu.

Beliau juga menggesa pemimpin Pakatan di Selangor – antaranya Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan exco kerajaan tempatan Ronnie Liu – agar tidak mencari pelbagai alasan daripada memberikan kerjasama kepada suruhanjaya itu.

"Kalau saya boleh pergi, kenapa (pemimpin) Pakatan tidak boleh? SPRM sentiasa profesional. Khalid, Ronnie Liu pun bila dipanggil, kena pergi. Jangan beri alasan.

"Kalau tidak salah, hendak takut apa?" kata Dr Mohamad Khir. sumber

Hormati hak dan kebebasan mengundi anggota keselamatan

PAS menyeru semua pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menghormati hak dan kebebasan pasukan anggota keselamatan khususnya membabitkan kerahsiaan undi mereka
Anggota keselamatan yang menunaikan tanggungjawab melalui undi pos pada masa ini dikatakan terancam dari sudut kerahsiaan undi mereka akibat beberapa prosidur mengundi yang ditetapkan SPR.

Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub berkata, anggota keselamatan harus diberi hak dan kebebasan untuk mengundi tanpa berasa terancam.
"Kita mengajak semua pihak termasuk SPR bersama memperjuangkan ke arah ujudnya satu ketelusan yang sepenuhnya terhadap anggota keselamatan."

"Sebarang kaedah yang boleh menimbulkan suasana tidak selesa dan mengancam kerahsiaan undi anggota keselamatan, perlu dihapuskan sama sekali," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga ketua Pengarah Pilihan raya Pas Bagan Pinang berkata, selain desakan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), para anggota yang sudah bersara juga boleh memainkan peranan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem pengundian pos yang pernah mereka lalui.

"saya juga minta bekas anggota keselamatan yang sudah bersara supaya berani tampil mengemukakan apa yang mereka rasa tidak kena dengan prosidur undi pos ini," katanya lagi.Image Sebelum ini Salahudin menyambut baik keputusan SPR menetapkan hari mengundi bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang pada hari cuti.

Menurutnya, ianya hasil perjuangan Pas selama ini yang tidak pernah berhenti menuntut supaya SPR tidak lagi menetapkan tarikh pengundian pada hari bekerja seperti di Manek Urai dan Pengkalan Pasir.

Penetapan itu juga akan memberi ruang yang lebih selesa kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka tanpa mengira latar belakang kecenderungan politik.
Justeru, beliau juga optimis Pas mampu menang di kerusi Dun tersebut jika jumlah keluar mengundi mencecah antara 70 hingga melebihi 80 peratus.

Pengundian pada tarikh tersebut diharapkan mampu memberi kelebihan kepada PAS apabila pengundi lebih senang pulang membuang undi tanpa perlu memohon cuti.
Bertemu SPR 28 Sept,Pas bagaimanapun akan mengadakan pertemuan dengan SPR pada 28 Sept depan bagi membincang secara khusus berkaitan undi pos yang dilihat tidak telus dan boleh dimanipulasi.Pertemuan itu antara lain memfokuskan kepada prosidur mengundi yang dilihat memberi ancaman kepada anggota, dan rantaian keselamatan peti undi sebelum hari penjumlahan.

ImageKetua pengarah Operasi Pilihan raya Pas Bagan Pinang, Dr. Dzulkifli Ahmad pula berkata, ancaman pengundian ujud pada prosidur di mana setiap anggota diminta memasukkan kedua dua sampul borang kehadiran mengundi dan sampul kertas undi ke dalam satu sampul lain sebelum diletakkan dalam beg peti undi.

"Ini satu bentuk ancaman kepada anggota, bila boring kehadiran dilettakkan bersama kertas undi, bermakna kerahsiaan undi mereka dicabuli."Ini yang kita akan bincang dengan SPR," katanya kepada harakahdaily.Pemuda pakatan dahului serahan memorandum

Sementara itu, pemuda pakatan rakyat juag akan menghantar satu memorandum kepada SPR berhubung perkara sama pasa 17 Sept ini.Image Pengerusi Jawatankuasa Khas Undi Pos pemuda pakatan, Suhaizan kayat berkata, memorandum berkenaan bagi mendesak SPR memansuhkan Borang 2 undi pos yang mengandungi maklumat anggota yang mengundi.

Selain itu, mereka juga akan mendesak supaya SPR memberi ruang kepada calon bertanding untuk bertemu para pengundi pos khususnya memasuki kem-kem mereka.

"Calon perlu diberi peluang bertemu pengundi dalam kem. Di pihak kerajaan, mereka menggunakan kementerian pertahanan dan agensi kerajaan lain untuk masuk 'berkempen'. Kita pula tidak dibenar langsung, ini tidak adil," katanya.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah 3 Oktober sementara tarikh pengundian, ditetapkan 11 Oktober depan.Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi dan 4,604 adalah pengundi pos.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional pada 4 September lepas akibat jangkitan dalam darah.

Wednesday, September 9, 2009

rundingan pas dengan umno-nik aziz


Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima baik jika Perdana Menteri mahu berunding dengan PAS untuk membolehkan royalti minyak diberikan kepada Kelantan.

Tetapi, beliau menolak rundingan politik antara PAS dengan Umno dan menyifatkan ianya perkara lama."Itu (royalti) memang hak Kelantan, cuma nak tentu bila ahli Parlimen kita pergi Kuala Lumpur bolehlah runding," katanya kepada wartawan semalam.

Nik Aziz ketika diminta memberi respon berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa Umno sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini, menegaskan rundingan itu tidak perlu sama sekali sebaliknya Umno harus menukar dasar kebangsaan yang dibawanya kepada dasar Islam.Beliau juga menyifatkan pelawaan Najib itu sebagai isu lama yang sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

"Itu cerita lama. Nak berunding apa lagi? Kalau nak jaga Islam lebih baik dia (Umno) buat sebagaimana yang disebut. Tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam. Barulah benar-benar nampak yang kita ni ikhlas dengan Islam," tegasnya.

Kata Nik Aziz, Kelantan di bawah pemerintahan PAS sudah hampir 20 tahun mengamalkan dasar Islam dan berjaya mendidik rakyat untuk menuruti ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad saw.Beliau tidak menolak kemungkinan isu itu sengaja ditimbulkan Najib menjelang pilihanraya kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan untuk mengumpan rakyat.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya, Azman Mohd. Nor, 52, dari Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH) di sini Jumaat lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Allahyarham Azman menang selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi."Boleh jadi isu ini timbul sekarang ini sebagai umpan pilihanraya," katanya.Dalam hal pilihan raya ini, beliau yakin PAS akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu namun perkara itu akan diputuskan di peringkat Pusat.

Nik Aziz berkata, adalah penting untuk PAS bertanding kerana pilihanraya merupakan satu medan untuk parti itu menyebarkan dakwah Islam melalui kempennya. Oleh itu ujarnya, PAS tidak harus melepaskan peluang untuk menegakkan ajaran Islam."Kita tunggu keputusan PAS pusat dan saya pun belum dimaklumkan," katanya.

"Tapi setiap kali berlakunya pilihanraya kita akan masuk kerana PAS ni bawak Islam di seluruh dunia. Jadi di mana sahaja ada ruang untuk sebar Islam, kita akan guna. Bila ada pilihanraya, kita boleh sampaikan ISlam melalui ceramah dan kempen kita," katanya pada satu sidang media di pejabatnya di Kota Darul Naim, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana menyediakan peruntukan bagi pembangunan negeri ini, khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah wajar memandangkan ianya meupakan tanggungjawab kerajaan pusat."Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang memberi peruntukan dan telah menolong Kelantan dalam pelbagai bidang kerana itu adalah konsep federalisme.

"Kelantan walaupun di bawah PAS tak terlepas daripada Malaysia, jadi segala hasil dibahagikan ke seluruh negeri termasuk Kelantan," katanya.

Tuesday, September 8, 2009

kepala lembu: 12 dihadap ke mahkamah


Dua belas orang ke mahkamah hari ini berhubung insiden perarakan kepala lembu ketika mengadakan protes di sekretariat kerajan negeri (SUK) Selangor pada 28 Ogos lalu.

Enam daripada mereka menghadapi dua tuduhan - menghasut dan menyertai perhimpunan haram. Manakala enam lagi didakwa menyertai perhimpunan haram.

Enam yang menghadapi tuduhan menghasut itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan atau tuduhan alternatif di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana "menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan penganut Hindu dan senjaga lukakan perasaan penganut Hindu".

Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.

Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu

Mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Mereka berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga RM5,000.

Sebelum itu, pihak pendakwa memohon supaya mahkamah menetapkan ikatjamin RM15,000 tiap seorang, manakala peguam mereka Salehuddin Saidin dan Afifudin Ahmad Hafifi meminta ia dikurangkan kepada masing-masing RM500.

Hakim Hasbi Hassan kemudiannya menetapkan ikatjamin masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 21 Oktober.

Selepas itu, mereka bersama enam yang lain dihadapkan di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menyertai perhimpunan haram mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta polis.

Kesemuanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Norkamilah Aziz membenarkan ikatjamin masing-masing RM300 dengan seorang penjamin bagi enam orang yang turut menghadapi tuduhan menghasut.

Manakala ikatjamin bagi enam orang lagi yang menghadapi tuduhan perhimpunan haram, ditetapkan masing-masing sebanyak RM300 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut pada 21 Oktober.

Mereka adalah sebahagian daripada mereka yang menyertai protes tersebut kerana membantah keputusan kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil berusia 150 tahun, dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Sebelum itu, kira-kira 20 penduduk datang ke Mahkamah Shah Alam pagi ini sebagai tanda sokongan kepada 12 orang yang akan didakwa berhubung isu perarakan kepala lembu membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23.

Mereka berhimpun di kaki lima, menunggu sesi mahkamah bermula.

Mereka memberitahu media "kami tidak bersalah" dan kami datang dengan satu hati".

Dua belas orang tersebut akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haramsumber


Monday, September 7, 2009

menunaikan zakat dapat membersihkan jiwa dan harta

Kemungkinan berlaku sesuatu musibah terhadap harta benda adalah disebabkan tidak membayar zakat. Salah satu cara menyelamatkan dan 'membersihkan' harta masing-masing adalah dengan menunaikan kewajipan itu termasuk bersedekah.

Demikian antara pandangan penceramah Lembaga Zakat Selangor Ustaz Hamizul Abdul Hamid dalam mengupas fadhilat, kelebihan dan persoalan asas berhubung kewajipan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Ramadan kepada warga kerja Harakahdaily dan Siasah di pejabat media itu tengah hari semalam.

Selain itu menjelaskan kedudukan, Hamizul memberitahu bahawa zakat adalah sah dilakukan secara persendirian namun ianya tidak afdal.

"Lebih baik disalurkan kepada agensi yang berwajib bagi memastikan ianya disampaikan secara sistematik kepada lapan asnaf yang layak.

"Kalau nak sampaikan sendiri, mesti kadarnya mencukupi keperluan asnaf terbabit," katanya sambil memahami persoalan 'sampai' ataupun 'tidak' kepada mereka yang layak menerima zakat.

Baginya, jikalah berlaku sebarang kepincangan atau ketidaktelusan dalam penyampaian zakat itu, maka beban tanggungan tidak terletak lagi kepada si pemberi zakat.

"Kita beri pada amil zakat kita. Tanggungjawab kita sudah selesai. Sama ada amil amanah ataupun tidak, itu bukan alasan untuk kita tidak mengeluarkan zakat. Itu dia yang tanggung nanti," katanya dan mengakui turut menerima banyak aduan dan masalah berhubung pandangan itu.

Tambahnya lagi, zakat wajarlah dikeluarkan di kawasan tempat seseorang itu mencari rezeki ataupun 'mencipta' kekayaan kerana konsep, 'memulangkan' kembali kekayaan kepada golongan yang layak di kawasan tempat mencari rezeki.

"Tapi kalau nak beri zakat di kampung halaman dan kepada orang miskin, silakan...boleh juga tetapi tidak afdal," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kepentingan zakat yang telah disebutkan sebanyak 32 kali dalam al-Quran dan 26 kali diantaranya penyebutannya bersamaan dengan kata solat, ini suatu indikasi bahawa zakat sama penting seperti solat.

"Selain konsep syukur dan mematuhi perintah Allah swt, ianya untuk membersihkan harta atau kekayaan yang dimiliki dari hak orang lain. Dalam harta kita itu, ada hak kepunyaan orang lain," jelasnya.

Hamizul turut memperincikan golongan yang lain menerima zakat iaitu terdiri daripada lapan asnaf seperti fakir, miskin, amil menerima zakat, muallaf, hamba yang merdeka, orang yang berhutang, orang ke jalan Allah seperti belajar dan orang yang terputus perbelanjaan ketika musafir.

Katanya ramai yang salah tanggap bahawa, lapan asnaf ini mestilah terdiri daripada orang miskin adalah salah kerana hanya dua kategori sahaja yang membicara status kedudukan kekayaan seseorang iaitu asnaf fakir dan asnaf miskin.

"Itu sebab, ada pemberian yang kita beri kepada asnaf-asnaf terbabit dan mereka terdiri daripada orang berada dan ramai yang memandang serong hal ini sedangkan ianya memang dibolehkan.

"Umpamanya, memberi pemberian zakat kepada yang muallaf sedangkan dirinya memang kaya. Ini memang dibolehkan. Tidak semetinya memberi zakat kepada orang miskin sahaja. Sila rujuk ciri-ciri asnaf terbabit," katanya menjelaskan kekeliruan.

Selain itu, Hamizul menjelaskan bahawa kutipan zakat yang diterima mestilah diagihkan pada tahun semasa dan tidak dibawa ke tahun berikutnya.

Turut menarik perhatian, dalam tazkirah itu ialah penjelasan berhubung zakat pendapatan yang rata-rata umat Islam masih kabur tentang kewajipannnya.

"Zakat pendapatan juga diistilahkan sebagai zakat al-mal al-mustafad, iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan professional yang lain.

"Zakat pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan atau bayaran yang diperolehi sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberi," katanya

Zakat itu juga turut dikenali sebagai upah, gaji, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, wang KWSP, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk pendapatan yang berasaskan kerjaya atau sebagai ahli professional, katanya.

Terdapat tiga kaedah mengira zakat pendapatan iaitu pertama, dikira daripada keseluruhan jumlah pendapatan seseorang terus dikeluarkan 2.5 peratus sebagai zakat.

Kaedah ini dirasakan agak membebankan, jsuteru ia langsung tidak mengambil kira aspek penggunaan dan saraan seseorang, kata Hamizul.

Kaedah kedua pula katanya iaitu boleh buat dahulu tolakan asas yang sudah ditetapkan contohnya iaitu diri sendiri RM8,000; isteri RM3,000; anak-anak RM1,000 seorang; pemberian kepada ibu bapa; caruman KWSP; caruman ke dalam akaun Tabung Haji dan setelah itu baru dikeluarkan zakat 2.5 peratus.

"Kaedah ketiga ialah mengira jumlah sebenar perbelanjaan asasi, iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan, pengangkutan dan pendidikan...barulah dikeluarkan zakat," katanya dan menyarankan kakitangan Harakahdaily dan Siasah melakukan zakat secara potongan gaji.

"Rukun zakat hanya dua iaitu niat dan berlakunya perpindahan harta. Kerana itulah, kita boleh beri zakat melalui internet ataupun potongan gaji. Dan mudah-mudahan dengan kewajipan kita laksanakan, akan membersihkan jiwa dan harta kita.

Friday, September 4, 2009

ADUN BN Bagan Pinang NS meninggal

ADUN BN bagi Bagan Pinang, Negri Sembilan, Azman Mohd Noor meninggal dunia di Seremban hari ini.

Beliau meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada jam 2.30 petang tadi di Pusat Pakar Seremban.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, 55, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihanraya kecil dalam tempoh 60 hari ini.

Ia merupakan pilihanraya kecil kesembilan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Bagan Pinang merupakan kawasan DUN dalam Parlimen Telok Kemang. Empat lagi DUN dalam parlimen tersebut ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Dalam pilihanraya umum lalu, Parlimen Telok Kemang dimenangi oleh calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Manakala DUN Chuah pula dimenangi oleh PKR, Lukut (DAP), Linggi (BN) dan Port Dickson (PKR).

Ramai ADUN Umno boikot Muhyiddin?


Dua tokoh utama dalam kumpulan ADUN Umno Terengganu yang menentang menteri besar tidak hadir di majlis untuk merapatkan barisan kepemimpinan negeri yang disertai timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha perhubungan negeri Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno bahagian Hulu Terengganu itu, lapor Bernama.

Ketika Umno negeri itu dilanda krisis berpanjangan, termasuk desas-desus sembilan wakil rakyatnya ingin melompat menyertai PKR untuk bergabung dengan lapan ADUN PAS, ketiadaan mereka menimbulkan pelbagai spekulasi.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya Datuk Ahmad Said, yang juga menteri besar, hadir di majlis yang disifatkan sangat penting itu.

Wednesday, September 2, 2009

NUJ kesal jurufoto ditangkap dan dikasari


Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) kesal dengan tindakan polis yang didakwa memukul jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, Stanley Tan, sewaktu menangkapnya pagi tadi.Stanley ditugaskan untuk membuat liputan usaha ADUN Pakatan Rakyat untuk masuk ke bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) Perak, untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam satu kenyataan hari ini, majlis eksekutif NUJ berkata Stanley hanya menjalankan tugas profesionalnya sebagai seorang jurugambar.

"Anggota polis yang dikatakan memukul Stanley Tan harus tahu bahawa jurugambar itu memakai kad pengenalan media," kata Presiden NUJ, Norila Daud.

Katanya, tindakan kekerasan oleh anggota polis yang menangkap Stanley "mencerminkan dia tidak langsung menghormati undang-undang".

"NUJ juga tahu bahawa pihak polis berada di situ untuk menjaga undang-undang, tetapi jurugambar itu bukan sebahagian daripada pihak yang mencetuskan masalah di situ," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, NUJ menggesa pihak polis supaya tidak melakukan kekerasan ketika menjalankan tugas mereka, terutama apabila pihak media juga perlu menjalankan tugas mereka.

rumah di Kpg Buah Pala diroboh


Sebuah rumah di Kampung Buah Pala dirobohkan pagi ini selepas pemiliknya bersetuju menerima pampasan dan menyerahkan kunci kepada pemaju.

Anggota polis mengawal ketat ketika kerja-kerja perobohan tersebut dijalankan.