Perhimpunan dianjurkan dua pertubuhan Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida).
Di Shah Alam, beberapa orang mkelihatan melepaskan kemarahannya terhadap ahli parlimen PAS bagi Shah Alam, Khalid Samad, yang bersetuju istilah Allah digunakan oleh penganut Kristian.Orang ramai turut menurunkan tandatangan pada petisyen bantahan di Masjid Negara dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Sementara itu, lebih 1,000 orang menyertai perhimpunan dalam dewan solat utama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai membantah penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.Tiga orang berucap di perhimpunan tersebut, termasuk yang dipertua PIMPINAN - persatuan yang mewakili imam dan pegawai masjid serta jurunikah di Selangor.
Dua lagi yang turut berucap ialah Yang Dipertua Abim Selangor, Zawawi Ahmad Mughni dan Zamri Mohd Shafik yang juga pengerusi persatuan ulama Malaysia cawangan Selangor.
Perhimpunan tersebut dipengerusikan oleh Mahadi Mohamad yang juga pengerusi Pusat Darul Fitrah.Sementara itu, imam besar masjid berkenaan, Ahmad Mustafa Mohd Sidin memberitahu Malaysiakini bahawa perhimpunan itu pada asalnya hendak diadakan di kawasan perkarangan masjid.
Bantahan terhadap penggunaan nama Allah oleh bukan Islam turut dibangkitkan dalam khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dibaca oleh Ahmad hari ini.Pada 31 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald The Catholic Weekly menggunakan nama Allah dalam penerbitannya. Keputusan itu mengundang reaksi negatif banyak kelompok dalam masyarakat Islam dalam tempoh seminggu ini. Mahkamah yang sama bagaimanapun menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan daripada Kementerian Dalam Negeri.



