Wednesday, October 8, 2008

Majlis Ulama tidak sesuai diwujud dalam Umno - Nik Aziz

KOTA BHARU, 8 Okt (Hrkh) - Umno tidak sesuai mewujudkan majlis ulama seperti disarankan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin memandangkan parti itu memisahkan agama dalam perjuangan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, majlis ulama hanya sesuai dengan gerakan Islam seperti PAS kerana sejak awal lagi konsisten memperjuangkan Islam.

"PAS sejak awal-awal lagi meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan, maka ulama berperanan penting dalam perjuangan PAS," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.

Mufti Perlis hari ini dilapor mencadangkan penubuhan Majlis Ulama dalam Umno untuk memastikan ahli-ahli parti tidak lari dari roh Islam dan menerima kuasa dengan penuh tanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS merujuk kepada Dewan Ulamak dalam setiap gerak kerja sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam Umno.

Selain itu PAS juga mempunyai Majlis Syura Ulama iaitu badan tertinggi dalam PAS yang memutus hala tuju gerakan Islam tersebut.

Dalam perkembangan lain beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan pada Ramadan lalu.

MAKLUMAT LANJUT

Tuesday, October 7, 2008

Ku Li cadangkan kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Sambil mempertegaskan lagi komitmennya untuk menawarkan diri sebagai Presiden Umno berikutan prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) meneroka kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan atau 'unity government' itu dicadangkannya untuk membolehkan negara keluar dari ketidaktentuan politik dan ekonomi yang dihadapinya kini, lapor The Star hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu memberitahu, beliau telah mengemukakan idea berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PR baru-baru ini.

Beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP DAP Lim Kit Siang.

Difahamkan Tengku Razaleigh dan Anwar telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu".

MAKLUMAT LANJUT

Monday, September 22, 2008

Raja Petra di hantar ke Kamunting hari ini

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Hrkh) - Pengendali laman web Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin akan dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting hari ini untuk memulakan penahanan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar telah menandatangani perintah penahanan tanpa bicara Raja Petra malam tadi.Malaysiakini melaporkan peguam Raja Petra mengesahkan perkara tersebut setelah mendapat makluman daripada pihak polis pagi tadi.

Raja Petra telah ditahan di bawah ISA kerana didakwa boleh mengganggu dan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam pada 12 September lalu.

Pada 6 September lalu, Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor Malaysia Today itu mungkin ditahan dibawah ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.

Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.

Raja Petra juga didakwa telah membenarkan komen-komen disiarkan dalam lamanwebnya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad, dalam artikel bertajuk "Not all Arabs are descendants of the Prophet".

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA, yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Kali pertama, beliau ditangkap di bawah ISA pada 11 April 2001 ketika gerakan reformasi di mana sembilan orang telah ditahan. Pada masa itu, beliau merupakan webmaster lamanweb FreeAnwar.com ketika itu.

Raja Petra dibebaskan selepas ditahan selama 52 hari.Sebelum ini, Raja Petra telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan memfitnah selepas mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. - mr_

Wednesday, September 17, 2008

Abdullah serah kuasa, Najib kini Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Hrkh) -Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan menyerahkannya kepada Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Bernama melaporkan,Abdullah mengumumkan yang beliau mengambil alih jawatan menteri pertahanan dari Najib.

Abdullah memberitahu sidang akhbar tengah hari ini bahawa pertukaran portfolio tersebut berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan tersebut sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan kepada kabinet mengenai keputusannya.

Kedua-dua juga mengesahkan komitmen mereka untuk berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Bagaimanapun, kata Abdullah, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib. - mks._

Sunday, September 14, 2008

ISA: Zaid Ibrahim sedia letak jawatan

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Hrkh) -Dalam perkembangan yang dilihat sebagai menarik dan jarang berlaku, beberapa anggota Kabinet menyuarakan pandangan peribadi dan parti masing-masing supaya kerajaan mengkaji semula penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap orang awam.

Mstar online melaporkan, antara mereka yang memberi pandangan sedemikian ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim yang berpendapat ISA tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik.

Menteri yang bertanggungjawab berkaitan soal perundangan dan kehakiman itu berkata, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Kata beliau, sudah tiba masa bagi kerajaan Persekutuan kembali kepada matlamat asal penggubalan ISA, yang digubal untuk mengawal komunis, ataupun pada hari ini untuk menangani pengganas ataupun mereka yang hendak menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

"Saya tidak meminta supaya ISA dimansuhkan tetapi hanya menggunakannya apabila wujud ancaman ke atas keselamatan negara seperti pengganas dan bukan orang awam," kata beliau kepada wartawan di Kota Baharu, Kelantan semalam.

"Saya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawui untuk mengadakan perbincangan terus terang bagi mendapatkan pandangan beliau dalam isu ini secepat yang mungkin," jelas beliau.
MAKLUMAT LANJUT

Tuesday, September 9, 2008

Kes Anwar ditangguh 24 September

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes liwat terhadap Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim kepada 24 September depan ekoran bantahan terhadap perintah yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Malaysiakini melaporkan, apabila kes itu disebut pada jam 9.58 pagi tadi di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah, pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, para peguam Anwar mempertikaikan perintah tersebut kerana ia ditandatangani oleh Abdul Gani, yang menurut mereka, tidak sepatutnya terbabit dalam kes tersebut kerana beliau adalah pihaknya disebut dalam aduan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung dakwaan mereka bukti terhadapnya pada 1988.

Mereka berhujah bahawa sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Anwar telah membuat laporan polis terhadap Abdul Gani dan Musa yang didakwanya telah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya 10 tahun yang lalu.

Hakim Komathy kemudian menetapkan 24 September untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah terhadap kesahihan perintah pemindahan kes yang ditandatangani oleh Abdul Gani itu.

BERITA PENUH

16 September - Sukar BN untuk gagalkan - Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) -Barisan Nasional (BN) sukar untuk menggagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat dalam situasi negara ketika ini.

Demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam majlis solat tarawih dan hajat di rumahnya di Bukit Segambut malam tadi.

Sebelum itu beliau menjelaskan sebagaimana yang dilaporkan Mstar Online bahawa, sasaran 16 September bagi membentuk kerajaan yang baru boleh dianjak ke satu tarikh yang lain jika wujud masalah yang boleh menghalang proses peralihan kuasa seperti yang dirancang.

"Walaupun kita sudah ada sasaran iaitu pada 16 September, tapi gambaran setakat ini hasil perbincangan bersama PAS dan DAP, tarikh itu boleh kita anjak... kalau tak jadi 16 haribulan mungkin 20 haribulan kerana tarikh itu juga ada sejarah.

"Tapi saya fikir dalam keadaan sekarang adalah susah bagi mereka (kerajaan Barisan Nasional) untuk gagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat," jelas beliau.

Anwar menyatakan demikian sehari selepas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan hampir tiga jam pagi kelmarin susulan pertemuan informal lebih dua jam di ibu negara Ahad lalu.

Ketika ditemui semalam, beliau menjelaskan bahawa perancangan untuk membentuk kerajaan berjalan dengan lancar setakat ini.
BERITA LANJUT