GEORGETOWN, 22 Julai (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman menegaskan, muzakarah PAS-Umno perlu untuk kesejahteraan umat Islam sejagat lagipun ia merupakan perbincangan bukan persefahaman politik.
Jelasnya, masyarakat umum atau ahli PAS jangan terjerat dengan media utama negara ini yang sengaja mengemburkan bahawa adanya pertemuan sulit PAS-Umno.
"Isu muzakarah bukan isu baru tetapi sudah lama di mana PAS acapkali menyuarakan betapa pentingnya muzakarah diadakan untuk menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan umat Islam dan perpaduan melayu, " ujarnya mengulas isu berkenaan ketika bertemu di ruang legar Dun semalam.
Kata beliau, tambahan pula PAS bukan sekadar parti politik yang terlibat secara langsung dalam soal kebajikan tetapi juga kerja dakwah sama ada kepada bukan Islam atau Islam sendiri.
Pertelingkahan yang berlaku dalam negara terang Hamdan, berpunca daripada tidak menggunakan kelebihan al-Quran sebagai jalan penyelesaian sebaliknya suka kepada peraturan ciptaan manusia.
Masalah remaja sambungnya, kian rumit mengancam negara, penyelewengan kuasa bertambah ketara, rasuah bermaharajalela dan isu dadah sampai sekarang tidak ada penamatnya.
"Adakah kita sebagai sebuah parti yang mahukan kuasa untuk menjadi pemerintah duduk diam tanpa mengatasi masalah yang terjadi. Kita patut bersama atasi masalah berkenaan kerana suatu hari nanti kita juga akan memerintah bersama Pakatan Rakyat. Adakah pada waktu itu baru nak buat perancangan mengatasi masalah negara, " terang beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.
Menyedari masalah tersebut baginya, perlu satu muzakarah diadakan selain perbincangan sebagai parti yang berhasrat memerintah bukan sekadar jadi pembangkang selama- lamanya.
Pertempungan politik adakalanya jangan diseret dalam usaha mencari titik pertemuan asalkan Umno ikhlas dan berniat murni bersama membawa rakyat negara ini menuju kecemerlangan.
"Muzakarah kenalah ikhlas tidak berselindung di sebalik usaha jahat barulah semuanya boleh diselesaikan, " ujarnya.
Hamdan menjelaskan, kalau persefahaman politik agak mustahil kerana ia memerlukan proses atau pandangan ahli dalam muktamar khas agar apa tindakan tidak merugikan parti.
Bagi dirinya muzakarah begitu penting diadakan bagi mencari penyelesaian dalam beberapa hal bukanya menjalan kesefahaman politik sepertimana yang disangkakan oleh individu atau parti lain yang menaruh prasangka kurang elok terhadap niat PAS selama ini.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan adanya pertemuan sulit antara kepimpinan PAS dan Umno untuk membantu masalah yang mengancam negara sejak dulu lagi.
Isu ini diakui sendiri oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang apabila wujudnya pertemuan tidak rasmi oleh wakil parti iaitu Timbalan Presiden, Ustaz Nasarudin Mat Isa; Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad. - mks. _
0 comments:
Post a Comment