Tuesday, June 9, 2009

Henti bangkit isu Kerajaan Perpaduan

GESAAN Dato' Mustafa Ali kepada semua pihak termasuk dalam PAS dan Pakatan Rakyat supaya menghentikan segera bercakap soal Kerajaan Perpaduan mesti diambil perhatian segera.

Mustafa dalam sidang akhbarnya di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, 9 Jun lepas mahu semua pemimpin PAS berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung isu kerajaan perpaduan.

Tegasnya, idea bekerjasama dengan Umno (dalam isu-isu yang khusus) pernah dikemukakan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat, namun ianya tidak dijuruskan kepada suatu keputusan yang konkrit.

Katanya, idea tersebut dikemukakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi ahli-ahli PAS tidak mempersetujuinya.

Isu kerajaan perpaduan katanya juga, tidak pernah dibincangkan (dalam mesyuarat AJK Pusat) dan tiada keputusan yang dicapai mengenainya.

Mustafa memperakui, daripada reaksi AJK PAS Pusat tidak bersetuju dengan idea tersebut dan oleh kerana itu PAS merasakan tidak perlu sebarang perbincangan mengenainya dibuat.

Tegasnya, terma bekerjasama atau 'cooperation' telah disalahertikan kerana PAS tidak akan bekerjasama dari segi politik dengan parti seteru seperti Umno.

Beliau juga memperakui isu ini sudah menyebabkan kekeliruan di kalangan Pakatan Rakyat.

Gesaan menghentikan perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan ini kata Mustafa, tidak bertujuan untuk 'menyapu sampah ke bawah karpet' - not sweeping under the carpet - kerana isu ini tidak pernah timbul.

Katanya 'unity talk' dengan Umno tidak relevan buat masa sekarang.

"Kita kini bersama dengan Pakatan Rakyat dan adalah tugas kita untuk menguburkan Umno di Manek Urai," tegasnya.

Mustafa juga melahirkan harapan agar isu kerajaan perpaduan tidak lagi ditimbulkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.sumber

0 comments: