Tuesday, November 10, 2009

Hasan terima surat tunjuk sebab

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui telah menerima surat tunjuk sebab daripada jawatankuasa disiplin parti berhubung beberapa isu kontroversi di negeri itu.

Ditemui wartawan selepas pembentangan bajet di DUN Selangor hari ini, beliau yang juga exco hal-ehwal agama Selangor mengesahkan telah menerima surat tersebut semalam.

hasan ali umno pas selangor talk quality hotel 300708 05ADUN Gombak Setia, yang enggan mengulas kandungan surat berkenaan, bagaimanapun berkata beliau akan memberi jawapan kepada jawatankuasa tersebut dalam bentuk bertulis.

"Tidak perlu tahulah, itu hal dalaman parti," katanya di lobi bangunan DUN Selangor petang ini.

"Apa yang diminta itulah saya akan kemukakan. Selepas itu, terserah kepada jawatankuasa disiplin."

Jelasnya, beliau tidak bimbang dengan keputusan yang bakal diambil oleh jawatankuasa berkenaan.

"Perkara itu bukan susah sangat, benda yang nak dijawab itu sudah jelas.

"Tidak ada apa yang saya rasa ada keraguan atau kebimbangan. Benda ini biasa," katanya lagi.

Pengerusi jawatankuasa disiplin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini dilaporkan berkata surat tunjuk sebab itu dihantar kepada Dr Hasan dan beberapa lagi pemimpin.

Keputusan menyiasat PAS Selangor dicapai dalam mesyuarat khas jawatankuasa pusat PAS pada 28 Oktober lalu yang diadakan susulan desakan Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar muktamar khas dipanggil bagi membincang "beberapa kerat pemimpin bermasalah", termasuk Dr Hasan.

Jika didapati bersalah, Dr Hasan boleh dikenakan tindakan penggantungan keahliannya dalam PAS atau dipecat daripada parti itu, Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata.

Beberapa kenyataan pemimpin PAS Selangor itu, yang dianggap tidak selari dengan kepentingan kerajaan Pakatan Rakyat negeri, diungkit semula baru-baru ini susulan kemerosotan undi parti pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Kenyataan Dr Hasan itu yang dianggap negatif, antaranya, melibatkan isu jualan minuman beralkohol dan siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

0 comments: