Sunday, November 1, 2009

Pulihkan segera keyakinan terhadap sistem kehakiman, SPRM dan polis

Gerakan - salah sebuah parti komponen BN - menegaskan bahawa amat perlunya pemulihan secepat mungkin keyakinan rakyat terhadap tiga institusi utama dalam kerajaan - sistem kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata langkan itu amat perlu selain daripada memperbaiki sistem penyampaian sektor awam.

Berucap di persidangan perwakilan nasional Gerakan ke-38 di ibunegara hari ini, beliau berkata, penubuhan suruhanjaya pelantikan kehakiman (JAC) satu permulaan yang baik.

"Kami juga mengalu-alukan tindakan Ketua Hakim Negara baru-baru ini dalam menambahbaikkan prosedur mahkamah dan bercadang menyingkir hakim-hakim yang berprestasi rendah.

"Walau apapun, banyak lagi harus dilakukan," tambah Dr Koh. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Koh berkata, dengan program transformasi kerajaan (GTP) memberi fokus kepada pencegahan gejala rasuah dan jenayah sebagai dua bidang keberhasilan utama nasional (N-KRA) yang penting, institusi seperti SPRM dan Polis harus belajar dari insiden dan persepsi negatif terhadap pendakwaan yang tidak berkesan atau memilih bulu, secara cepat dan berkesan dan memulihkan kredibiliti dan kecekapan institusi di mata rakyat.

"Bagaimanapun, untuk memerangi rasuah dan jenayah memerlukan kesanggupan politik. Gerakan mengaku janji akan terus memberi sokongan kepada kerajaan dan pucuk kepimpinan Barisan Nasional dalam usaha untuk memerangi rasuah dan jenayah," tegasnya.

Beliau berkata, apa yang berkaitan rapat dengan isu rasuah ialah keberkesanan tanggungjawab dan ketelusan kerajaan secara umum.

Laporan ketua audit

"Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan pembaziran dan ketirisan yang begitu ketara, serta kos yang melebihi had, kecacatan dalam infrastruktur dan bangunan Kerajaan dan lain-lain, Gerakan menggesa supaya siasatan yang menyeluruh dan tindakan keras perlu diambil.

Di sebaliknya, terdapat pula beberapa contoh kecemerlangan, misalnya, Jabatan Imigresen sanggup mengeluarkan pasport dalam tempoh masa tiga jam yang kini merupakan satu rekod dunia.

"Sekiranya Jabatan Imigresen dapat meraih pencapaian ini, tidak ada sebab mengapa jabatan-jabatan lain tidak dapat meraih kejayaan serupa," katanya.

Dr Koh berkata, selain penyampaian dan perkhidmatan yang cepat, rakyat juga mengharapkan dan menuntut layanan yang saksama, mesra, bersopan santun dan memberi hormat.

Katanya, slogan 'rakyat didahulukan' bukan sahaja untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat, tetapi adalah untuk memenangkan hati rakyat.

"Ia bukan sahaja untuk mencapai kesan hasil yang cepat, tetapi juga untuk memberi layanan yang baik. Oleh kerana majoriti kakitangan sektor awam, termasuk pegawai-pegawai penguatkuasaan, adalah orang Melayu, layanan yang tidak adil atau kurang sopan selalunya dipandang sebagai amalan perkauman.

"Sehubungan itu, selain dari memperbaiki keberkesanan dan kesantunan, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk memastikan campuran kumpulan etnik yang sihat wujud dalam sektor awam. Sesungguhnya, Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah benar-benar Perkhidmatan Awam 1Malaysia," tambahnya.

Dalam ucapannya itu, Dr Koh turut menyentuhkan soal cabaran besar yang dihadapi kerajaan dan BN, hatuju parti Gerakan, isu ekonomi dan perpaduan kaum.

Berikut adalah sedutan teks ucapan Dr Koh:

Sepertimana yang kita sedari, kita kini berada dalam satu era yang penuh dengan rentetan perubahan serta cabaran-cabaran besar. Dalam dua tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan kekecamukan ekonomi dan politik yang melanda negara-negara di serata pelusuk dunia, dan ini dikalutkan lagi oleh tragedi-tragedi bencana alam dan penularan penyakit yang menggugat insan. Sesungguhnya, era ini amatlah mencabar bagi ramai orang dan banyak kerajaan di seluruh dunia. Kerajaan di banyak negara berhempas pulas untuk menangani kehendak-kehendak rakyat di mana sikap kritikal terhadap kerajaan lahir dari golongan masyarakat yang kini lebih berpelajaran dan bermaklumat. Perubahan politik sudah melanda beberapa negara dan Malaysia tidak terkecuali. Cara lama yang pada suatu ketika dahulu sememangnya berhasil bahkan pernah menyampaikan "keajaiban" tidak lagi berkesan pada masa kini dan di masa hadapan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, kerajaan gabungan seperti kita harus bersedia untuk berubah atau bersedia untuk diubah. Malah, kita tidak mempunyai pilihan selain dari berubah, dengan seberapa segera, untuk kepentingan rakyat Malaysia, bukanlah untuk kita sendiri.

Dalam ucaptama saya di persidangan kita pada tahun lepas, ekoran dari suara rintihan ramai anggota masyarakat dan parti, saya telah menggesa supaya lebih banyak pembaharuan diperkenal dan dilaksanakan, selain apa yang telah dimulakan pada masa itu. Pembaharuan-pembaharuan yang disebut termasuklah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan kesaksamaan pendapatan yang lebih baik; integriti yang lebih kukuh, keberkesanan dan ketelusan dalam Kerajaan; keamanan dan keselamatan untuk semua; keharmonian antara agama dan perpaduan antara etnik yang lebih kukuh; serta ruang demokratik yang lebih besar. Kami amat bergembira dan bersyukur kerana banyak permintaan yang disebutkan tadi sedang ditangani melalui beberapa pengumuman yang dibuat dan tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri yang baru dalam tempoh tujuh bulan yang lalu. Perubahan ini telah dilahir dan berpandukan kepada semangat dan komitmen "1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan." Sudah sampai masanya untuk tindakan dan penyampaian hasil-hasil yang nyata dan benar.sumber

0 comments: