Wednesday, December 3, 2008

Pemecatan Zaid sudah dijangka - Nuridah

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) - Pemecatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim daripada Umno yang berkuatkuasa serta merta tidak memeranjatkan sebaliknya memang sudah dijangkakan.

Demikian pandangan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang telah menjangkakan pemecatan terhadap Zaid daripada menjadi ahli Umno.

Ini dapat dilihat katanya daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga beliau sanggup meletakkan jawatan jika ISA diteruskan.

Beliau berkata, penentangan Zaid terhadap ISA itu telah memberi tamparan hebat terhadap pimpinan Umno.

Sehingga semalam katanya, pimpinan Umno terutama Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak masih mempertahankan ISA kerana ia kononnya menjaga keselamatan negara daripada pengganas.

Menurut beliau, kehadiran Zaid di Kongres Parti KeADILan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini mempercepatkan proses pemecatannya.

"Pihak Umno memang menunggu saat untuk memecat Zaid, manakala Zaid pula mungkin sudah bersedia untuk dipecat," katanya.

Sehubungan itu, Nuridah mengajak Zaid menyertai PAS kerana PAS tidak pernah berganjak menentang ISA dan akan terus menentang sehingga hukuman rimba itu dimansuhkan. - mns _

Tuesday, December 2, 2008

Zaid Ibrahim dipecat,Zahar digantung 3 tahun

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) -Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno serta merta malam tadi.

Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga merupakan Presiden Umno berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam tadi.
Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.
Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional KeADILan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti.
Zahar sebelum ini telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Abdullah yang didakwa telah menyalahguna kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pemilihan parti dan pencalonan.
Beliau juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses tender kerajaan untuk membeli helikopter baru bagi Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM). - mks._

Satu sistem pendidikan:Nurul Izzah bidas Mukhriz

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (keADILan) membantah keras kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Dato' Mukhriz Mahathir berkenaan "pelaksanaan satu sistem pendidikan" yang dilihat cuba mengapi-apikan sentimen perkauman bagi membantu kempennya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti tersebut.
Iklan

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar Ibrahim berkata adalah wajar memperkasa sistem pengajian sekolah kebangsaan di samping mempertahan dan meninggikan sistem sekolah Rendah Jenis Kebangsaan memandangkan Malaysia sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.
"Kita menghormati hak kaum masing-masing untuk mempelajari bahasa ibunda dan menggalakkan perkembangan pelbagai kebudayaan serta kesenian di negara ini sekaligus dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. katanya dalam satu kenyataan.
"Cadangan Mukhriz jelas berniat menonjolkan dirinya sebagai "pejuang bangsa Melayu" supaya menang Ketua Pemuda Umno pada Mac tahun depan, bukan sahaja membantutkan perkembangan pendidikan pelbagai aliran, malah turut menjejaskan hubungan sesama kaum,"katanya dalam satu kenyataan.
Katanya jika Mukhriz benar-benar seorang "pejuang bangsa Melayu", beliau seharusnya menentang Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris (PPMSI) yang menyebabkan kemerosotan mutu pendidikan khususnya di kalangan masyarakat Melayu luar bandar yang miskin, dan bukan menghapuskan aliran pendidikan lain.
Hakikatnya kata Izzah sebagai calon yang bakal memimpin barisan Pemuda Umno, Mukhriz telah gagal mengemukakan pandangan yang lebih terbuka dari segi pendidikan tetapi mengikut jejak lama pemimpin sekarang yang bersifat perkauman, malah lebih ekstrim bagi melanjutkan polisi perkauman Umno-BN.
"Kita menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan provokasi Mukhriz yang cuba mengapi-apikan pergaduhan kaum demi kepentingan politik sendiri, dan terus menggesa kerajaan BN kembali kepada sistem pendidikan yang adil kepada semua," katanya.-Hrkh _

Tuesday, November 25, 2008

video ceramah-"KENAPA ISLAM LAWAN ISLAM??" oleh Ust Azhar Idrus

Monday, November 24, 2008

Usul Anwar bincang isu ekonomi ditolak Speaker Dewan Rakyat

Wan Nordin Wan Yaacob
Mon | Nov 24, 08 | 1:45:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh) - Usul Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di bawah perkara 18 (1) khas bagi membincangkan isu kegawatan ekonomi yang dibawa ke Dewan Rakyat pagi tadi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Dato' Ronald Kiandee.

Ronald semasa menolak usul itu menyatakan, usul yang dibawa oleh Anwar (KeADILan Permatang Pauh) itu tidak berkehendak disegerakan.

Anwar yang sebelum itu bangun bagi membacakan usul tersebut meminta dewan ditangguhkan bagi membolehkan persoalan kelesuan dalam pencapaian negara bagi mendapatkan pelaburan asing (FDI) yang masuk.

Menurut Anwar, walaupun satu ketika lalu negara menikmati FDI yang agak tinggi, namun sejak kebelakangan ini ia semakin merosot malah berada pada tahap membimbangkan.

Walhal, negara-negara lain di Asia memperolehi FDI yang meningkat dari semasa ke semasa, Malaysia sebaliknya merudum, kat Anwar.

Beliau merujuk kepada laporan 'United Nations Conference on Trade and Development Worlds Investment Report 2008' berhubung kedudukan Malaysia yang semakin merosot dalam FDI termasuk di peringkat Asia.

walaupun usulnya ditolak, Anwar mahu kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengambil maklum usul beliau dan memandang serius laporan Pertubuhan Negara-negara Bersatu (PBB).

Bercakap di luar Dewan Rakyat semasa mengadaka sidang medianya pula, Anwar kesal kerana kerajaan enggan membincangkan kelemut ekonomi yang parah hari ini bersama dengan Pakatan Rakyat.

Ujar Anwar, Pakatan Rakyat mahu mengambil bahagian menyelesaikan kemelut ekonomi negara dan perbincangan meja bulat bersama pimpinan BN dan Pakatan Rakyat adalah jalan terbaik ke arah itu.

Beliau melahirkan kebimbangan jika isu itu tidak dibincangkan secara kolektif dan segera, ia bakal memparahkan lagi ekonomi negara. _

Sunday, November 23, 2008

Pakat doa hujan lebat tidak turun di Kelantan - MB

Salmah Mat Husain I Foto Rizal Tahir
Sun | Nov 23, 08 | 5:38:37 pm MYT

KOTA BHARU, 23 Nov (Hrkh) - Biar pun air bah belum melanda Kelantan, namun Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meninjaukan keadaan Sungai Kelantan berikutan hujan lebat Rabu dan Khamis lalu.

Semalam beliau meninjau keadaan Sungai Kelantan di perkarangan Hotel Rider dekat sini bagi melihat sendiri paras air selepas hujan lebat dua berturut-turut.

Kehadirannya mengejutkan orang ramai yang berada di situ.

"Alhamdulillah apa yang kita dapati nampaknya masih belum ada tanda-tanda berlaku banjir, bahkan air sungai pun nampaknya semakin surut, lagi pun hujan lebat belum berlaku lagi di hulu Kelantan.

"Kita juga berharap banjir tahun ini tidak berlaku banjir dan sekiranya ada tanda-tanda hujan akan turun lebat sama-samalah kita berdoa agar hujan tidak turun di tempat kita," ujarnya ketika ditemui media ketika tinjauan tersebut.

Image Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihati ibu bapa serta penjaga menjaga anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya, kanak-kanak yang tidak biasa dengan air akan berasa seronok dengan kedatangan banjir setahun sekali.

"Jadi saya nak cadangkan ibu bapa dan guru supaya mengingatkan mereka terhadap bahaya bermain dengan air bagi mengurangkan mangsa lemas di musim banjir.

"Dahulu anak-anak muda termasuk gadis berpakaian cantik untuk keluar bermain air banjir, macam tu lah tiap-tiap tahun hingga sekarang, banjir masih dianggap satu pesta buat mereka," ujarnya, - mj _

Himpunan Mansuhkan ISA kecoh, 9 ditahan

Harakahdaily
Mon | Nov 24, 08 | 9:09:24 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh) -Polis bertindak menghentikan Ceramah Perdana Himpunan Mansuhkan ISA yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) semalam dengan menggunakan ratusan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis cawangan khas kerana didakwa menganjurkan himpunan tanpa permit.

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub dilaporkan cuba berunding bagi membenarkan program ceramah diteruskan tetapi tidak mendapat persetujuan pihak polis.

Pihak polis hanya membenarkan Mohamad Sabu berucap selama lima minit sebelum meminta orang ramai bersurai dari kawasan tersebut. Beliau sempat membuat pengumuman ceramah kempen untuk himpunan 100 000 mansuhkan ISA seterusnya akan diadakan di Stadium Selayang.

Difahamkan belum pun sampai seminit Mohamad Sabu berucap, beberapa orang anggota polis yang berpakaian biasa cuba menangkap Mohamad Sabu dan beberapa pimpinan lain.

Dilaporkan suasana menjadi lebih kecoh apabila polis menyergah dan menolak orang ramai dengan menggunakan perisai dan kayu. Beberapa orang yang hadir tersungkur apabila polis menarik dan menolak dengan cara yang agak keras.

Menurut laporan kira-kira tujuh orang petugas yang terdiri daripada Unit Amal PAS ditahan di Balai Polis Pandan Indah. Mereka ialah Ketua Pemuda PAS Wilayah;Kamaruzaman Mohamad, Mohd Sani Hamzan, Timbalan Pengarah Unit Amal (3); Saripuddin Mohd Yatim, Mohd Amir Ali Mohd Shah, Hafiz Zulkifli, dan Azman Abd Hamid.

Sejurus kemudian, selepas sidang media di Balai Polis sama, Salahuddin dan Mohamad Sabu dipanggil masuk semula ke balai.

Kempen dan ceramah tersebut tersebut dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan dijadual dilancarkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, malam tadi Anwar tidak hadir.-Hrkh _