Thursday, March 12, 2009

Najib perlu selesai politik Perak sebelum ajak Pakatan pulih ekonomi - Nik Aziz

KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Dato' Seri Najib Razak wajar menterjemahkan saranannya yang mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik supaya terlebih dahulu memulihkan kegawatan politik di Perak.

Ini kerana Timbalan Perdana Menteri itu dilihat banyak pihak sebagai orang yang bertanggungjawab menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di luar lunas demokrasi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin terbabit perlu mempamerkan keikhlasannya bagi meredakan kecamukan politik di Perak dengan memohon kepada istana supaya dibubar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak.

Katanya, tiada cara lain lagi dalam situasi sekarang di Perak kerana pertembungan menggunakan undang-undang tidak boleh memuaskan hati semua pihak melainkan dikembalikan semula mandat kepada rakyat.

"Saya hairan kerana banyak pihak menunding jari ke arah Timbalan Perdana Menteri sebagai pencetus kepada krisis yang berlaku di Perak sekarang.

"Jadi bagaimana dengan mudah beliau mahu Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik bagi memberi fokus kepada perkembangan ekonomi dan rakyat," katanya di sini.

Semalam Najib dilaporkan mengajak Pakatan Rakyat mengenepikan perbezaan politik untuk bersama-sama kerajaan persekutuan memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat.

Beliau mengajak semua pihak supaya berganding bahu dan berusaha gigih untuk mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, biarpun ucapan Menteri Kewangan ketika membentang mini bajet kelmarin kelihatan bernas, namun pemulihan politik di Perak patut menjadi keutamaan kerana ia turut memberi kesan kepada perkembangan ekonomi.

Menurutnya juga peruntukan yang disediakan bagi merangsangkan ekonomi negara begitu besar dan ia perlu digunakan secara telus dengan mengamalkan tender terbuka dan bukannya mengutamakan kroni.

"Semua tender projek kerajaan perlu dibuat secara terbuka, berasaskan merit, dan track record syarikat yang diberi kontrak kerajaan bagi memastikan ia mendatangkan manfaat kepada rakyat dan bukan segelintir pihak sahaja," katanya.

Mengenai bon syariat yang diumumkan dalam mini bajet tersebut bagi memperkasakan ekonomi Islam, kata beliau sepatutnya kerajaan melihat dalam konteks yang lebih luas mencakupi akidah Islam.

"Apa salahnya selain tumpuan kepada ekonomi Islam, kerajaan pusat juga mengutamakan akidah Islam sebagai dasar bagi memulihkan seluruh sistem dalam masyarakat termasuk aspek sosial dan keadilan di Malaysia," katanya.

Menurut beliau titik pertemuan tiga bangsa utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India hanya dapat disatukan melalui akidah dan syariat Islam.

Kata beliau sekiranya kerajaan sukar untuk melihat contoh pelaksanaan pentadbiran berasaskan Islam, modelnya sudah ada di Kelantan sekarang.

Antaranya penghapusan judi, larangan hiburan melampau, sistem pajak gadai Islam (al Rahn), bantuan Ladang Rakyat, skim Takaful Armalah dan Takaful Kifaalah sudah dilaksana di Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, program kebajikan itu diterima semua kaum di negeri ini.

Katanya juga Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah mengagungkan sesuatu bangsa melainkan menjadikan Islam sebagai teras kepada perpaduan nasional dan keadilan sejagat. - mj/mks._

Thursday, March 5, 2009

Polis benar himpunan anti-PPSMI

kemaskini 3.52pm Polis membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini. Bagaimanapun perhimpunan hanya dibenarkan diadakan di Masjid Negara jam 2 petang, sementara dua lokasi lagi yang dirancang - Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo - tidak jelas.
Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas memberitahu Malaysiakini sebentar tadi, polis bagaimanapun melarang perarakan ke Istana Negara seperti dirancang. "Kami dimaklumkan boleh berhimpun di Masjid Negara tetapi perarakan (ke Istana Negara) tidak boleh," katanya.Beliau dimaklumkan, tambahnya, perarakan itu tidak dibenarkan setelah polis mempertimbangkan faktor keselamatan.
Bagi menyerahkan memorandum gabungan itu kepada istana, polis menawarkan khidmat menghantar pemimpin GMP ke lokasi itu menggunakan kenderaan pasukan keselamatan itu, kata Hasni.Kebenaran itu dimaklumkan oleh polis sewaktu pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad, timbalannya Dr Shahrir Mohd Zain dan beliau sendiri ke ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi. Keputusan terbaru ini membayangkan polis mengambil sikap bertolak ansur selepas amaran diberikan kepada orang ramai semalam agar tidak menyertai perhimpunan itu.

Polis siasat 28 Adun Pakatan berhimpun haram


kemaskini 4.38pm Polis akan menyiasat kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak, termasuk Speaker DUN V Sivakumar, berhubung satu perhimpunan sebelum persidangan tergempar bawah pokok kelmarin. Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata mereka semua, termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, akan dipanggil atas dakwaan berhimpun secara haram dekat pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN).


Dalam sidang tergempar itu yang diadakan di tempat letak kenderaan tidak jauh dari bangunan DUN, mereka meluluskan tiga usul, termasuk membubarkan dewan. Mereka berbuat demikian apabila gagal memasuki bangunan rasmi DUN setelah dihalang oleh polis.Adun DAP Pasir Pinji, Thomas Su Keong Siong semalam dipanggil ke balai polis Ipoh selama dua jam untuk siasatan berhubung perhimpunan tersebut.Beliau, yang juga exco kerajaan Perak bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, hadir bersama lima peguam.


Polis juga mencari enam orang yang terlibat dalam satu perhimpunan di pintu masuk utama bangunan pentadbiran Perak, Selasa lalu, sewaktu wakil-wakil rakyat itu cuba memasuki DUN. Enam orang ini dipercayai kehendaki berhubung dakwaan maki-hamun polis sewaktu pihak berwajib itu cuba menyuraikan perhimpunan tersebut.


Polis setakat ini membuka 31 kes siasatan sejak krisis politik di negeri itu awal bulan lalu, melibatkan 12 kes perhimpunan haram, dua (Akta Hasutan), tiga (Akta Penerbitan dan Mesin Cetak) dan 14 (Kanun Keseksaan).Semua siasatan kes ini sekarang di peringkat akhir dan akan diserahkan kepada pendakwaraya dalam waktu terdekat, kata Zulkifli.

Tuesday, February 24, 2009

Guna nasihat peguam London bukti Umno sangat terdesak - Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Umno Perak kini begitu terdesak sehingga terpaksa mencari tenaga pakar undang-undang dari luar bagi mempertahankan kerajaan Perak yang baru sahaja dilantik melalui rampasan kuasa oleh BN.

Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS, Hanipa Maidin berkata parti itu kini sangat terdesak bagi mengesahkan kerajaan haram yang dibentuk selepas tiga Adun melompat parti sehingga memaksa mereka menggunakan khidmat nasihat pengamal undang-undang luar negara.

"Mereka ini sudah tidak percaya kepada pengamal undang-undang tempatan berbanding Dato' Seri Nizar yang masih menggunakan khidmat peguam tempatan," katanya kepada Harakah.
Ujarnya, pasukan peguam Nizar diketuai Sulaiman Abdullah turut dianggotai Zulkarnain Lokman, Edmund Bon, Amer Hamzah serta dua peguam dari DAP selain dirinya sendiri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Hanipa menjelaskan bahawa peguam Nizar menyangkal tuduhan bahwa hakim yang dilantik mengadili kes permohonan Nizar untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Mohamad Ariff Md Yusof dibantah oleh Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Pejabat Peguam Negara, Dato' Kamaludin Mod Said kerana pernah terlibat sebagai penasihat undang-undang untuk parti PAS, KeADILan dan BN dalam beberapa kes termasuk petisyen pilihan raya.

"Bagaimanapun, bagi pihak Dato' Seri Nizar kami membantah tuduhan tersebut dengan hujah bahawa setiap hakim yang dilantik mereka telah bersumpah untuk menjalankan tanggungjawab dengan adil serta mempertahankan perlembagaan dan undang-undang negara.

"Lagipun tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa hakim ini pernah mewakili Nizar sebelum ini," ujarnya.

Oleh yang demikian tegasnya, kes-kes yang sebelum ini perlu dipakai bagi menentukan sama ada hakim tersebut perlu menarik diri atau tidak.

"Beliau perlu menarik diri sekiranya terdapat bahaya yang jelas bahawa hakim tersebut akan berat sebelah dan bukan bersandar kepada kemungkinan semata-mata.
"Ia perlu kepada fakta yang benar-benar sahih dan bukannya sangkaan," tegasnya lagi. - azm_

Ibrahim Ali sedia timbang sertai semula Umno

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali bersedia menimbang pelawaan untuk menyertai semula Umno dengan syarat parti itu bersedia menerima kelantangannya.

Ketika berterus-terang kepada para pemberita yang menemuinya di lobi Parlimen semalam, Ibrahim berkata, beliau amat menghargai pelawaan daripada Umno dan akan mendapatkan maklum balas daripada para penyokong di kawasannya.

Ibrahim menambah, Umno bukanlah satu parti yang asing baginya kerana selain pernah menjadi ahli, beliau menganggotai Majlis Tertinggi (MT) selama enam tahun dan ketua bahagian selama 12 tahun.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, parti itu memang memerlukan tokoh seperti Ibrahim bagi menguatkan kedudukan parti di mata orang Melayu ketika ini.

Katanya, sebagai orang lama dan berpengalaman, selain pernah keluar masuk Umno, kebolehan dan kecekapan Ahli Parlimen itu tidak perlu diragui.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli parti supaya tidak memandang sinis terhadap cadangan supaya Ibrahim dibenarkan menyertai semula parti itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau mengharapkan akan ada lagi orang seperti Ahli Parlimen Pasir Mas itu mahu menyertai Umno semula.

"Kalau ada ramai yang nak masuk lagi bagus, sekurang-kurangnya Umno ada majoriti dua pertiga di Parlimen nanti," katanya.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga bersetuju dengan cadangan itu dan berharap Ibrahim menimbang tawaran itu dengan sebaik-baiknya._

Monday, February 23, 2009

Polis ambil keterangan Speaker Perak

IPOH, 24 Feb (Hrkh) - Pihak polis telah mengambil keterangan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V Sivakumar berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Sepasukan polis yang terdiri daripada tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak telah mengambil keterangan dari V Sivakumar.

Pasukan polis tersebut diketuai Ketua JSJK, Supt Amarjit Singh mengambil keterangan dari V. Sivakumar di pejabat guamannya di Jalan Tun Sambanthan di Ipoh mulai jam 2.45 petang hingga 5.15 petang.

Hadir sama di pejabat guaman itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong Sivasubramaniam , Adun Canning Wong Kah Woh, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, dan Adun Pokok Assam Yee Seu Kai.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita selepas memberi keterangan itu, Sivakumar berkata beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai dari JSJK yang memperkenalkan dirinya sebagai S.C Ng, semalam yang memaklumkan bahawa beliau perlu hadir di Balai Polis Sungai Senam bagi membolehkan polis mengambil keterangannya.
Bagaimanapun, katanya tujuan dan keperluan untuk kenyataannya itu direkodkan oleh polis tidak dinyatakan.

"Memandangkan saya mempunyai perkara lain yang perlu ditangani, saya memaklumkan kepada pegawai polis berkenaan bahawa saya bersedia menemui beliau pada 23 Februari untuk kenyataan saya direkodkan," katanya. Sivakumar berkata beliau telah memberikan sepenuh kerjasama kepada polis dalam proses tersebut.

"Dengan bertemu pegawai polis berkenaan hari ini untuk merekodkan kenyataan saya, saya telah memberikan sepenuh kerjasama sehingga ke tahap kerjasama saya itu tidak melanggari atau menyalahi apa-apa peruntukan undang-undang di negara ini," katanya. - mns_

Sunday, February 22, 2009

Karpal gesa undang-undang tegas ceroboh peribadi

Pengerusi DAP Karpal Singh mahu undang-undang lebih tegas terhadap pencerobohan hak peribadi, terutamanya selepas penyebaran gambar bogel AhliDewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong. Katanya, hukuman bagi pencabulan hak peribadi mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, adalah satu penghinaan kecerdikan mana-mana orang.
"Denda itu tidak pernah dinaikkan meskipun selepas hampir 54 tahun Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil ini termaktub. Ini amat menghairankan," katanya dalam satu kenyataan, lapor BernamaPada awalnya, kata beliau akta itu yang tidak memperuntukkan sebarang hukuman tahanan, tetapi denda tidak melebihi 100 dollar, namun pada tahun 1955, wang sebanyak 100 dollar adalah satu jumlah besar, itu sebabnya ia ditukar kepada RM100.
"Jabatan Peguam Negara seharusnya bertindak segera bukan sahaja memperuntukkan denda lebih besar tetapi juga hukuman tahanan yang lebih berat mengikut Seksyen 14 akta itu," katanya.Karpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata Jabatan Peguam Negara perlu melihat kepada apa yang beliau sifatkan sebagai "sepenuhnya tidak memadai dan ketinggalan zaman" peruntukan denda yang tidak melebihi RM100 dalam Seksyen 430 Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau memberikan satu contoh kes mahkamah Singapura pada 2000 yang menyaksikan tertuduh dihukum penjara dua bulan kerana menceroboh hak peribadi seorang wanita menggunakan alat kamera video.