Monday, February 23, 2009

Polis ambil keterangan Speaker Perak

IPOH, 24 Feb (Hrkh) - Pihak polis telah mengambil keterangan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, V Sivakumar berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Sepasukan polis yang terdiri daripada tiga pegawai dan seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak telah mengambil keterangan dari V Sivakumar.

Pasukan polis tersebut diketuai Ketua JSJK, Supt Amarjit Singh mengambil keterangan dari V. Sivakumar di pejabat guamannya di Jalan Tun Sambanthan di Ipoh mulai jam 2.45 petang hingga 5.15 petang.

Hadir sama di pejabat guaman itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong Sivasubramaniam , Adun Canning Wong Kah Woh, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, dan Adun Pokok Assam Yee Seu Kai.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada pemberita selepas memberi keterangan itu, Sivakumar berkata beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai dari JSJK yang memperkenalkan dirinya sebagai S.C Ng, semalam yang memaklumkan bahawa beliau perlu hadir di Balai Polis Sungai Senam bagi membolehkan polis mengambil keterangannya.
Bagaimanapun, katanya tujuan dan keperluan untuk kenyataannya itu direkodkan oleh polis tidak dinyatakan.

"Memandangkan saya mempunyai perkara lain yang perlu ditangani, saya memaklumkan kepada pegawai polis berkenaan bahawa saya bersedia menemui beliau pada 23 Februari untuk kenyataan saya direkodkan," katanya. Sivakumar berkata beliau telah memberikan sepenuh kerjasama kepada polis dalam proses tersebut.

"Dengan bertemu pegawai polis berkenaan hari ini untuk merekodkan kenyataan saya, saya telah memberikan sepenuh kerjasama sehingga ke tahap kerjasama saya itu tidak melanggari atau menyalahi apa-apa peruntukan undang-undang di negara ini," katanya. - mns_

0 comments: