Tuesday, June 16, 2009

Nik Aziz gesa Nasharuddin keluar PAS


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan menyertai Umno jika ingin kerajaan perpaduan, lapor The Star.

Kenyataan tokoh PAS ini yang paling keras pernah dikeluarkan oleh menteri besar Kelantan selepas menuduh beberapa pemimpin atasan PAS yang bersetuju dengan idea tersebut sebagai "boneka Umno."sumber

Ceramah Anwar, Mohd Sabu di Bangi 19 Jun ini

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu akan menyampaikan ceramah pada jam 9.00 malam, 19 Jun ini di Stadium Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Antara yang akan turut menyampaikan ucapan ialah Dr Mohammad Nur Manuty dan Adun DAP Balakong, Yap Lum Chin.

Anwar akan menunaikan solat maghrib serta menyampaikan tazkirah di Masjid Khairiah, Bangi. Umat Islam di sekitar Bangi turut dijemput sama menunaikan solat hajat bersama Anwar, seusai solat isya.

Dalam makluman yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pembangkang hari ini, Ketua Umum KeADILan itu akan turut berkunjung ke Manek Urai, Kelantan pada 21 Jun.

Selain mengatur mesyuarat dan menyusun jentera KeADILan untuk membantu calon PAS di Manek Urai, Anwar juga dijadualkan untuk berucap bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.sumber

Sunday, June 14, 2009

Nizar, 4 MP digantung sidang parlimen

Lima ahli parlimen pembangkang, termasuk Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) yang baru mengangkat sumpah pagi ini, diperintah meninggalkan Dewan Rakyat selepas mendesak DUN Perak dibubarkan.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan kelima-limanya meninggalkan bilik persidangan parlimen atas dakwaan "berkelakuan kasar".

Mereka berlima juga digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) and Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

Nga dan Ngeh - kedua-duanya exco kerajaan Pakatan Perak sebelum rampasan kuasa BN, Februari lalu - juga memakai kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan.

Tiga pemimpin Pakatan Rakyat di negeri itu antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut kembali kerajaan yang mereka kuasai tidak sampai setahun sejak Mac tahun lalu. sumber

Friday, June 12, 2009

Pemuda Pakatan debat halatuju PAS

Tiga Ketua Pemuda parti komponen Pakatan Rakyat akan berkongsi pentas 16 Jun ini untuk membincangkan halatuju PAS ekoran isu-isu yang timbul selepas muktamar parti itu minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi; Ketua Pemuda Sosialis DAP yang juga ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Seorang lagi panelis ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Majlis tersebut - Sembang Kopitiam anjuran Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor dan Shah Alam - membawa tajuk 'Pasca muktamar PAS - kerajaan perpaduan?'

Dalam satu kenyataannya, ia berkata majlis tersebut diadakan mulai jam 8 malam bertempat di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam.

Menurutnya, banyak isu yang kontroversi timbul selepas muktamar PAS minggu lalu, antaranya penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dan usul menggesa pengharaman Sistem in Islam (SIS) yang membawa aliran Islam liberal.

Pekembangan tersebut, kata kenyataan itu, telah menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan orang ramai, termasuk golongan muda yang ingin melihat perubahan tulen selepas tsunami politik yang berlaku tahun lalu.

Menurutnya lagi, empat persoalan utama yang bakal dibincangkan dalam majlis tersebut ialah:

bullet button Dengan pimpinan baru yang dipilih, ke manakan PAS ingin menuju selepas muktamar?

bullet button Mengapakah Presiden PAS ingin mengutarakan tentang konsep kerajaan perpaduan?

bullet button Apakah persediaan untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan telah dijalankan dalam Pakatan Rakyat?

bullet button Bagaimana hubungan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat?

"Kesemua persoalan akan dikupas oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda masakini," kata kenyataan tersebut.sumber

'Boneka Umno' suka k'jaan perpaduan

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas lagi pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Beliau juga dilaporkan tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Mustafa Ali, hari ini dilantik setiausaha agung PAS, supaya semua pemimpin parti itu dan Pakatan Rakyat berhenti membuat kenyataan umum berhubung isu tersebut bagi mengelak kekeliruan.

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

nik aziz mustafa ali pas"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno," Nik Aziz dipetik berkata selepas meraikan rombongan guru fardu ain dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di kediaman rasminya di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata jika ada pihak yang memperkatakan mengenai kerajaan perpaduan, lapor agensi berita itu lagi, "ia sebenarnya adalah ilham Umno", lapor Bernama.

Menjawab soalan bahawa isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, menteri besar itu berkata kenyataan itu bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya.

Mengenai saranan Mustafa itu, Nik Aziz berkata tidak ada sebab ahli parti tidak boleh mempersoalkan isu itu.

"Soalnya tutup kerana apa? Percanggahan pendapat itu bukan datang dari PAS, tapi orang tertentu dalam PAS, dia sudah berasa bahaya bagi dia, maka dia minta tutup," katanya.

"Mana boleh tutup mulut manusia."sumber

Tuesday, June 9, 2009

Henti bangkit isu Kerajaan Perpaduan

GESAAN Dato' Mustafa Ali kepada semua pihak termasuk dalam PAS dan Pakatan Rakyat supaya menghentikan segera bercakap soal Kerajaan Perpaduan mesti diambil perhatian segera.

Mustafa dalam sidang akhbarnya di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, 9 Jun lepas mahu semua pemimpin PAS berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung isu kerajaan perpaduan.

Tegasnya, idea bekerjasama dengan Umno (dalam isu-isu yang khusus) pernah dikemukakan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat, namun ianya tidak dijuruskan kepada suatu keputusan yang konkrit.

Katanya, idea tersebut dikemukakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi ahli-ahli PAS tidak mempersetujuinya.

Isu kerajaan perpaduan katanya juga, tidak pernah dibincangkan (dalam mesyuarat AJK Pusat) dan tiada keputusan yang dicapai mengenainya.

Mustafa memperakui, daripada reaksi AJK PAS Pusat tidak bersetuju dengan idea tersebut dan oleh kerana itu PAS merasakan tidak perlu sebarang perbincangan mengenainya dibuat.

Tegasnya, terma bekerjasama atau 'cooperation' telah disalahertikan kerana PAS tidak akan bekerjasama dari segi politik dengan parti seteru seperti Umno.

Beliau juga memperakui isu ini sudah menyebabkan kekeliruan di kalangan Pakatan Rakyat.

Gesaan menghentikan perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan ini kata Mustafa, tidak bertujuan untuk 'menyapu sampah ke bawah karpet' - not sweeping under the carpet - kerana isu ini tidak pernah timbul.

Katanya 'unity talk' dengan Umno tidak relevan buat masa sekarang.

"Kita kini bersama dengan Pakatan Rakyat dan adalah tugas kita untuk menguburkan Umno di Manek Urai," tegasnya.

Mustafa juga melahirkan harapan agar isu kerajaan perpaduan tidak lagi ditimbulkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.sumber

Sunday, June 7, 2009

PAS adalah bahtera yang selamat - Presiden PAS

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan 'PAS sebagai bahtera yang selamat' kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi ucapan penangguhan Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati hari ini.

Presiden PAS menegaskan, sesiapa yang meninggalkan bantera itu, pastinya akan tenggelam.

PAS disifatkan demikian kerana parti itu memperjuangkan Islam yang sebenar, tatkala suasana hari ini penuh dengan rasuah, kerosakan akhlak dan masalah ekonomi, katanya.

Kini PAS katanya, sudah diterima pelbagai pihak samda kawan mahupun lawan, samada Islam mahupun bukan Islam.

Dalam ucapan yang sama, beliau menyatakan komitmen bahawa PAS adalah bahtera yang diakui lawan akan kekuatannya, selain akan tetap dengan bahtera tersebut juga.

Beliau turut menjelaskan beberapa isu membabitkan 'tahaluf siyasi' hari ini yang dilakukan PAS dalam mendepani politik nasional.

Penubuhan Kelab Penyokong PAS disentuh selain persefahaman dengan pelbagai pihak dalam isu-isu tertentu ketika adanya krisis tertentu.

Sebelum ini Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat menjadi medan PAS bersepakat dalam kerjasama politik, katanya.

"Allah memerintahkan supaya kita mengutamakan perdamaian kerana matlamat adalah untuk menyelamatkan manusia," ujarnya.

Beliau turut menyatakan PAS tidak boleh menutup ruang kepada mana-mana pihak, sebaliknya terbuka untuk menerima semata-mata untuk memberi kebaikan kepada manusia.

Presiden PAS juga menyatakan, muktamar PAS kali ini berjalan baik "walaupun ada keriuhan tetapi tidak ada kekacauan".

Beliau menyeru sidang muktamar meneruskan perjuangan dengan tema muktamar 'Islam Memimpin Perubahan sumber