Sunday, August 24, 2008

BN turun harga minyak hanya untuk pikat pengundi

SUNGAI LALANG, 24 Ogos (Hrkh) - Pengumuman penurunan harga minyak oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai usaha memikat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Demikian lontaran pandangan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow pada ceramah sempena Expo Perpaduan Rakyat 2008 (EXPRA 08) di Taman Bandar Baru (TBB), di sini malam semalam.

"Semasa menaikkan harga minyak pada Jun lalu, kerajaan mendakwa tidak lagi mampu memberikan subsidi akibat kenaian harga minyak dunia yang tinggi.

"Tetapi oleh kerana adanya pilihan raya kecil Permatang Pauh, Perdana Menteri yang sebelum ini berjanji menurunkan harga minyak pada September, telah turunkan lebih awal," dakwa Hu.

Ujarnya, penurunan yang diumumkan kelmarin tidak membawa sebarang makna tetapi bertujuan memikat rakyat dan hati pengundi di Permatang Pauh.

"Kadar inflasi yang diumumkan baru-baru ini telah melonjak tinggi berbanding tujuh tahun sebelumnya. Ini menunjukkan rakyat tidak cukup wang untuk berbelanja," katanya menyesali.

Turut menyampaikan ceramah pada malam kedua EXPRA 08 anjuran PAS Cawangan TBB dan Majlis Tindakan DUN Bukit Selambau itu ialah seorang peguam muda, Teoh Tai Eak yang juga bekas ahli Parti Gerakan. - mr _
sumber

0 comments: