Thursday, August 7, 2008

Permatang Pauh: Muktamar tidak halang PAS beri komitmen

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) - PAS akan membantu memberikan kerjasama dalam kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh nanti.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata PAS akan menghantar petugas untuk membantu gerak kerja pilihan raya tersebut walaupun tarikh penamaan jatuh pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-54.

"Jawatankuasa PAS Pusat akan memutuskan untuk menghantar petugas bagi membantu kerja-kerja di Permatang Pauh pada hari penamaan calon nanti," ujarnya ketika ditemui selepas sidang media Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat KeADILan, Merchant Square, Damansara kelmarin.

Walau bagaimanapun, PAS katanya akan tetap memberikan komitmen kepada perjalanan gerak kerja pilihan raya kecil yang menjadi tumpuan umum meskipun ianya dilihat akan mengalihkan sedikit tumpuan para perwakilan yang sedang sibuk bermuktamar.

"Tiada halangan untuk menjalankan gerak kerja itu nanti, tetapi yang lebih penting adalah tempoh kempen selama 10 hari," katanya.

Dtanya mengenai pertembungan tarikh muktamar dan penamaan calon di Permatang Pauh, Hatta yakin ianya tidak akan menjejaskan tumpuan PAS dalam muktamar tahunan itu nanti.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-54 di Ipoh dijangka akan membahaskan beberapa isu penting yang akan membicarakan pelbagai perkara khususnya berhadapan dengan kemelut politik tanah air yang menampilkan PAS sebagai antara ikon penting.

"Walau apapun kita tetap akan turun ke sana selepas muktamar dengan lebih ramai," katanya.

Hatta juga menjelaskan tarikh tersebut menjadi cabaran kepada pimpinan Pakatan Rakyat memandangkan sehari selepas berakhirnya muktamar iaitu pada 18 Ogos merupakan tarikh bermulanya sidang ketiga Dewan Rakyat.

"Kita akan mengemaskini dan menyusun pembahagian kerja di kalangan Pakatan Rakyat bagi memberikan tumpuan agar segala perancangan berjalan dengan lancar," ujarnya.

Muktamar Tahunan PAS ke-54 akan bermula pada 13 hingga 17 Ogos, tarikh penamaan calon di Permatang Pauh jatuh pada 16 Ogos manakala Sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 18 Ogos. - mks._

0 comments: