Tuesday, August 12, 2008

Sudah lama teringin hendak berundur - Nik Aziz

KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh) - Selepas berjaya memimpin Kelantan lebih 18 tahun, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa segan memberitahu sudah lama teringin hendak berundur.

"Sudah lama pimpin Kelantan malu juga saya sebenarnya. Seolah-olah saya tidak pandai mengajar orang. Allahualam.

"Tetapi ketika saya hendak berhenti tiba-tiba datang masalah. Setiap isu yang berlaku saya tidak boleh duduk kalau tidak masuk campur.

"Benda besar kalau saya tidak masuk campur tangan rasa macam tidak harap. Tetapi perkara-perkara kecil sekarang Alhamdulillah," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar selepas kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah memenangi pilihan raya umum 1990.

Ketika itu PAS dan Semangat 46 mencatat sejarah apabila memenangi kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Biar pun berlaku bermacam-macam isu dan peristiwa namun beliau tetap teguh di kerusi tersebut menerajui Kelantan di bawah paksi 'Membangun Bersama Islam'.

Bagaimanapun beliau berkata, sekarang sudah cuba menonjolkan pemimpin muda sebagai pelapis bagi mengganti tempatnya.

"Dahulu tiap-tiap kuliah pada pagi Jumaat hanya saya seorang yang kendalikan. Sekarang sudah dedahkan beberapa pemimpin pelapis.

"Kuliah tersebut diadakan selama dua jam, di mana sejam dikendalikan pemimpin lain. Kalau tidak ada Nik Aziz sudah ada Nik Aziz kedua atau ketiga," katanya.

Ditanya mungkin ada orang tertentu bakal menggantinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, memang ada.

0 comments: