Wednesday, February 18, 2009

MB dan semua exco Perak digantung hadiri sidang DUN

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.Keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang hari ini.

Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.Sebelum itu, Dr Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Enam exco berkenaan ialah Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.
Dipanggil beri keteranganTurut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin ChewDaily.
Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Datuk Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Sivakumar masih menjadi Speaker DUN Perak kerana kerajaan baru BN belum lagi mengadakan sidang dewan untuk menggantikan beliau dengan calon dari BN.Dengan menggantung tujuh daripada 28 ahli dewan undangan negeri (Adun) BN, maka jumlah wakil rakyat kini kembali memihak kepada Pakatan Rakyat.Jika dewan bersidang sekarang, BN akan hanya mempunyai 24 Adun di pihaknya - termasuk tiga calon bebas - manakala Pakatan mempunyai 28 Adun.

Di segi teknikalnya, kerajaan negeri BN masih boleh terus memintah Perak, tetapi ia tidak boleh mengadakan sidang dewan kerana bimbang Pakatan akan mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya.

Kesemua tujuh Adun BN itu diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

0 comments: