Sunday, August 17, 2008

Sukma, Munawar pernah tarik balik sumpah - Anwar

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Hrkh) - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat pelbagai percanggahan yang berlaku termasuk mempermainkan agama dalam kes yang melibatkan pertuduhan terhadap dirinya.

" Apakah wajar kita tunduk kepada perancangan segelintir komplot polis dan tokoh politik Umno dan mempermainkan al-Quran dan agama?

"Apakah isu ini selesai dengan bersumpah? Bukankan agama menetapkan beban pertuduhan pada yang membuat fitnah?" katanya yang dilihat mempersoalkan sumpah Saiful Bukahri Azlan baru-baru ini.

Kata Anwar dalam blognya perkara ini telah dirujuk ke Mahkamah Syariah menurut kaedah Islam.

"Sumpah diteruskan setelah doktor dan bukti alibi menolak sama sekali kemungkinan ia berlaku. Dalam masa sama, Saiful masih dalam kawalan polis!" katnya

Percanggahan kes ini cukup banyak kata Anwar dan mempersoalkan sama ada isu terbabit melibatkan perbuatan rela atau dipaksa malah pihak polis masih tidak menjawab penglibatan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Rosmah Mansor.

"Semua kenyataan dan tindakan dilakukan bersesuaian dengan strategi politik umno dan pilihan raya kecil.

"Pada tahun 1998 Sukma dan Munawar juga bersumpah dimahkamah tetapi menarik kembali sejurus 3 bulan sesudah itu. Sebagai Muslim, saya rujuk ka Mahkamah Syariah dan biar mereka menentukan langkah selanjutnya," katanya._

Thursday, August 14, 2008

Nik Aziz iringi Anwar di penamaan calon esok

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu akan mengiringi Dato' Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh esok.

Kehadiran Ustaz Nik Aziz untuk mengiring Ketua Umum KeADILan itu, disahkan Setiausaha Politiknya, Annual Bakhri Haron sebentar tadi.

Manakala Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sebuah hotel dekat sini malam tadi memutuskan Husam dan Mohamad sebagai wakil rasmi PAS sebagai sokongan kepada Anwar pada hari penamaan calon esok.

Dalam Pilihan Raya Kecil yang akan bermula esok hingga 26 Ogos depan, Anwar akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Dato' Ariff Shah Omar Shah.

Sebahagian besar pemimpin utama PAS tidak dapat menghadiri penamaan calon di Permatang Pauh kerana Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-54 sedang berlangsung dekat sini.

Sementara itu Pengarah PAS bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya telah mula mengatur dan menggerakkan jentera bagi membantu kempen calon Pakatan Rakyat.

"Tuan rumah kepada kempen ini adalah KeADILan, kita akan berbincang dengan mereka, bentuk peranan dan bantuan yang diperlukan.

"Jentera kita dari seluruh negara sudah dikerahkan, insya-Allah selepas muktamar berakhir Ahad ini (18 Ogos), mereka akan bertumpu ke Permatang Pauh," katanya. - mks._

Tuesday, August 12, 2008


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sudah lama teringin hendak berundur - Nik Aziz

KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh) - Selepas berjaya memimpin Kelantan lebih 18 tahun, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa segan memberitahu sudah lama teringin hendak berundur.

"Sudah lama pimpin Kelantan malu juga saya sebenarnya. Seolah-olah saya tidak pandai mengajar orang. Allahualam.

"Tetapi ketika saya hendak berhenti tiba-tiba datang masalah. Setiap isu yang berlaku saya tidak boleh duduk kalau tidak masuk campur.

"Benda besar kalau saya tidak masuk campur tangan rasa macam tidak harap. Tetapi perkara-perkara kecil sekarang Alhamdulillah," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar selepas kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah memenangi pilihan raya umum 1990.

Ketika itu PAS dan Semangat 46 mencatat sejarah apabila memenangi kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Biar pun berlaku bermacam-macam isu dan peristiwa namun beliau tetap teguh di kerusi tersebut menerajui Kelantan di bawah paksi 'Membangun Bersama Islam'.

Bagaimanapun beliau berkata, sekarang sudah cuba menonjolkan pemimpin muda sebagai pelapis bagi mengganti tempatnya.

"Dahulu tiap-tiap kuliah pada pagi Jumaat hanya saya seorang yang kendalikan. Sekarang sudah dedahkan beberapa pemimpin pelapis.

"Kuliah tersebut diadakan selama dua jam, di mana sejam dikendalikan pemimpin lain. Kalau tidak ada Nik Aziz sudah ada Nik Aziz kedua atau ketiga," katanya.

Ditanya mungkin ada orang tertentu bakal menggantinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, memang ada.

Sunday, August 10, 2008

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden

GELUGOR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain. - mks. _

Pengundi Permatang Pauh wakili suara 27 juta rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) -Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pengundi di Permatang Pauh bahawa mereka mempunyai 'tugas negara' yang mewakili keseluruhan 27 juta rakyat Malaysia.

Malaysiakini melaporkan, Anwar menyebut bahawa, pilihan raya kecil Parmatang Pauh adalah bukan mengenai dirinya, tetapi ianya adalah mengenai urustadbir yang baik, pembasmian kemiskinan dan rasuah serta sistem perundangan dan kehakiman yang tidak adil.

Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat memerlukan kemenangan yang besar untuk mencetuskan perubahan politik di negara ini.

Anwar kemudiannya melancarkan jentera pilihan raya kecil Pakatan Rakyat yang diketuai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pemilik kilang dan syarikat di Pulau Pinang dan Kedah selatan, untuk mengingatkan mereka supaya membenarkan para pekerja keluar pengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, ini kerana hari pengundian jatuh pada hari bekerja dan oleh itu, pekerja perlu diberi masa untuk menunai tanggungjawab mereka untuk mengundi. - mks._

Thursday, August 7, 2008

Permatang Pauh: Muktamar tidak halang PAS beri komitmen

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) - PAS akan membantu memberikan kerjasama dalam kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh nanti.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata PAS akan menghantar petugas untuk membantu gerak kerja pilihan raya tersebut walaupun tarikh penamaan jatuh pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-54.

"Jawatankuasa PAS Pusat akan memutuskan untuk menghantar petugas bagi membantu kerja-kerja di Permatang Pauh pada hari penamaan calon nanti," ujarnya ketika ditemui selepas sidang media Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat KeADILan, Merchant Square, Damansara kelmarin.

Walau bagaimanapun, PAS katanya akan tetap memberikan komitmen kepada perjalanan gerak kerja pilihan raya kecil yang menjadi tumpuan umum meskipun ianya dilihat akan mengalihkan sedikit tumpuan para perwakilan yang sedang sibuk bermuktamar.

"Tiada halangan untuk menjalankan gerak kerja itu nanti, tetapi yang lebih penting adalah tempoh kempen selama 10 hari," katanya.

Dtanya mengenai pertembungan tarikh muktamar dan penamaan calon di Permatang Pauh, Hatta yakin ianya tidak akan menjejaskan tumpuan PAS dalam muktamar tahunan itu nanti.

Muktamar Tahunan PAS kali ke-54 di Ipoh dijangka akan membahaskan beberapa isu penting yang akan membicarakan pelbagai perkara khususnya berhadapan dengan kemelut politik tanah air yang menampilkan PAS sebagai antara ikon penting.

"Walau apapun kita tetap akan turun ke sana selepas muktamar dengan lebih ramai," katanya.

Hatta juga menjelaskan tarikh tersebut menjadi cabaran kepada pimpinan Pakatan Rakyat memandangkan sehari selepas berakhirnya muktamar iaitu pada 18 Ogos merupakan tarikh bermulanya sidang ketiga Dewan Rakyat.

"Kita akan mengemaskini dan menyusun pembahagian kerja di kalangan Pakatan Rakyat bagi memberikan tumpuan agar segala perancangan berjalan dengan lancar," ujarnya.

Muktamar Tahunan PAS ke-54 akan bermula pada 13 hingga 17 Ogos, tarikh penamaan calon di Permatang Pauh jatuh pada 16 Ogos manakala Sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 18 Ogos. - mks._