Tuesday, November 18, 2008

Rasuah tertinggi, boikot sahaja pemilihan Umno Mac ini - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyeru ahli dan perwakilan Umno memboikot pemilihan jawatan parti itu Mac ini berikutan barah rasuah yang berlaku dalam pencalonan.

Mahfuz yang ditemui di Parlimen semalam menyatakan, beliau terkejut dengan pendedahan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob bahawa lebih 900 aduan kes rasuah diterima setakat ini.

"Ini senario paling parah dalam sejarah Umno, ini yang dilaporkan yang tidak dilaporkan kita tidak tahun berapa banyak lagi, dan ia mungkin melibatkan jutaan wang," katanya ketika mengulas isu rasuah dalam pemilihan Umno yang kini semakin mendapat perhatian media.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga melahirkan kebimbangan dengan senario rasuah yang membarah dalam Umno ini kerana pemimpin yang bakal dipilih adalah kalangan mereka yang menang dengan rasuah.

"Rasuah ini boleh jadi dengan sogokan wang atau janji-janji kuasa atau projek oleh seseorang wakil kepada calon. Dalam Umno hal ini secara terang kini didedahkan pelbagai lapisan pemimpin parti," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berlakunya politik wang dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno, Mahfuz merasakan adanya permainan kepimpinan atasan Umno.

Beliau mendakwa kemungkinan Najib dan Abdullah terpaksa meletakkan calon yang boleh dipercayai iaitu Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib berikutan ketidakpercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Muhyiddin sangat dikenali sebagai orang kuat Abdullah, namun selepas mengkritik keras kepimpinan Abdullah dan menggesa peralihan kuasa disegerakan, akhirnya Muhyiddin kini bukan menjadi pilihan kepada dua pemimpin utama Umno masa kini, katanya.

Walaupun Muhyiddin mendapat pencalonan tertinggi bagi Timbalan Presiden, namun Najib sendiri pastinya merasai kehadiran Naib Presiden Umno itu sebagai orang nombor dua Mac ini, akan memberi tekanan kepadanya, kata Mahfuz.

BERITA PENUH

Thursday, November 13, 2008

P. Pinang aktif tarik pelabur

PULAU PINANG, 13 Nov (Hrkh) - Pulau Pinang merupakan negeri kedua paling aktif mencari pelabur selepas Selangor, kata Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairus Khairudin.

Ujarnya, kejayaan negeri ini menarik pelabur memang telah diduga kerana kecekapan pemimpin Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional (BN) yang asyik menghabiskan wang yang pada asalnya untuk pembangunan rakyat.

"Kerajaan tidak berhenti mencari pelabur setelah diamanahkan oleh rakyat yang mahu melihat tindakan drastik kerajaan baru.

"Kini kita telah mula gerakan setelah berjaya melalui saat-saat getir di awal pengambilalihan kuasa," tegasnya ketika berucap sempena program tauliah perlantian JKKK Seberang Perai Tengah (SPT) di Pejabat Jabatan Kerjaraya, SPT semalam.

Pada tahun depan satu lagi syarikat besar daripada Korea akan menanam pelaburan di Malaysia khususnya di Pulau Pinang setelah mendapat maklumat sebenar berkaitan Pulau Pinang yang diperintah oleh Pakatan rakyat, katanya.

Katanya lagi, sebenarnya banyak pelabur ingin mengadakan hubungan dua hala dengan Pulau Pinang tetapi setelah berlaku tarik balik beberapa projek mega yang bakal dilaksanakan di sini oleh Kerajaan BN maka kebanyakan pelabur angkat kaki dan ada antaranya tunggu dan lihat.

"Tetapi kini bila kita pergi sendiri ke Korea baru-baru ini dan berbincang dengan syarikat Samsung akhirnya mereka dapat menerima semula untuk melabur di sini," terang beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti.

Berkaitan kemelut ekonomi sekarang, Mohamad Fairus yang juga Exco Usahawan menasihati rakyat negeri ini agar berhati-hati apabila berbelanja.

MAKLUMAT LANJUT

Adun DAP baca ayat al-Quran ulas bajet

IPOH, 13 Nov (Hrkh) - Wakil Canning dari DAP yang juga merupakan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak telah dua kali menyelitkan ayat al-Quran semasa membahaskan Bajet 2009 Negeri Perak sebentar tadi.

Wong Kar Woh mendapat perhatian daripada semua yang hadir bila beliau menyebut ayat ke-12 dari Surah Al-Hujurat.

Beliau menekan bahawa kita semua adalah adik beradik berdasarkan dari ayat tersebut.

Sekali lagi sebelum beliau menghabiskan ucapannya beliau membaca kalimah "Takmuru nabil maaruf watan hau anil mungkar" dari surah Ali Imran ayat 110. - mns_

MAKLUMAT LANJUT

Pulau Pinang : Tidak boleh guna tiket kelas pertama, hotel mewah

BUKIT MERTAJAM, 13 Nov (Hrkh) - Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah yang drastik dalam mesyuarat exco semalam, apabila bertindak menarik balik segala kemudahan yang dinikmati pegawai-pegawai tinggi sebagai salah satu langkah berjimat cermat.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin berkata, semua pegawai tertinggi kerajaan, termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hanya akan menggunakan penerbangan kelas ekonomi atau tambang murah dalam melakukan segala urusan kerajaan.

Katanya, tiada penerbangan kelas pertama atau kelas perniagaan dibenarkan, tiada penginapan di hotel empat atau lima bintang dan segala majlis tidak akan dianjurkan di hotel mewah.

Dengan penarikan balik segala kemudahan ini katanya, Ketua Menteri, anggota exco dan pegawai tinggi negeri hanya akan menggunakan penerbangan ekonomi dan menginap di bajet hotel apabila menjalankan tugas di luar Pulau Pinang.

Sebelum arahan dikeluarkan secara rasmi dalam mesyuarat mingguan exco semalam, Lim Guan Eng telah pun mengamalkan kesederhanaan sewaktu beliau mula memimpin kerajaan negeri.

Langkah yang diambil beliau ini, diperluaskan kepada semua anggota exco dan pegawai tinggi kerajaan negeri, sebagai salah satu usaha mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Guan Eng baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak pernah rasa terganggu atau tidak selesa sewaktu menjalankan tugas di luar kawasan walaupun menaiki penerbangan kelas ekonomi dan menginap di hotel sederhana.

MAKLUMAT LANJUT

Warkah untuk insan bakal bergelar haji

Warkah ini kutitipkan untuk bakal jemaah haji dan pengendali urusan haji, Tabung Haji. Mulai akhir bulan lalu, jemaah haji berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat-peringkat. Berdasarkan kuota diberikan kerajaan Arab Saudi (hanya satu peratus daripada penduduk sesebuah negara dibenarkan menunaikan haji), dianggarkan 26,000 jemaah Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, berdasarkan jumlah penerbangan, dianggarkan ada 40,000 jemaah haji Malaysia di Tanah Suci. Jumlah ini bukanlah kecil dan jika seseorang jemaah membayar RM10,000 untuk menunaikan haji, keseluruhan kos adalah RM400 juta.

Jumlah RM10,000 yang dikumpulkan oleh seseorang jemaah untuk membolehkan beliau menunaikan rukun Islam kelima itu bukannya kecil dan mudah diperolehi. Ada yang bersusah payah menabung sejak kecil dan ada pula yang berdikit-dikit menabung, mungkin RM5, RM10 atau RM20 setiap kali berurusan dengan pejabat Tabung Haji.

Kepercayaan dan keyakinan jemaah kepada Tabung Haji amat tinggi. Setelah bertahun-tahun malah mungkin berpuluh tahun memberi kepercayaan kepada Tabung Haji untuk membolehkan mereka menggenapkan simpanan sebanyak RM10,000, adalah wajar untuk Tabung Haji membalasnya dengan memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada jemaah.

Bermula daripada kursus haji sehinggalah jemaah selamat kembali ke tanah air, kebanyakan jemaah menggantungkan harapan kepada Tabung Haji. Selama ini pun, kita percaya Tabung Haji berjaya memberikan layanan terbaik, tetapi insya-Allah ia boleh dipertingkatkan lagi.

MAKLUMAT LANJUT

Wednesday, October 8, 2008

Majlis Ulama tidak sesuai diwujud dalam Umno - Nik Aziz

KOTA BHARU, 8 Okt (Hrkh) - Umno tidak sesuai mewujudkan majlis ulama seperti disarankan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdin memandangkan parti itu memisahkan agama dalam perjuangan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, majlis ulama hanya sesuai dengan gerakan Islam seperti PAS kerana sejak awal lagi konsisten memperjuangkan Islam.

"PAS sejak awal-awal lagi meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan, maka ulama berperanan penting dalam perjuangan PAS," katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.

Mufti Perlis hari ini dilapor mencadangkan penubuhan Majlis Ulama dalam Umno untuk memastikan ahli-ahli parti tidak lari dari roh Islam dan menerima kuasa dengan penuh tanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS merujuk kepada Dewan Ulamak dalam setiap gerak kerja sedangkan perkara itu tidak berlaku dalam Umno.

Selain itu PAS juga mempunyai Majlis Syura Ulama iaitu badan tertinggi dalam PAS yang memutus hala tuju gerakan Islam tersebut.

Dalam perkembangan lain beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan pada Ramadan lalu.

MAKLUMAT LANJUT

Tuesday, October 7, 2008

Ku Li cadangkan kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Sambil mempertegaskan lagi komitmennya untuk menawarkan diri sebagai Presiden Umno berikutan prestasi terburuk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) meneroka kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan atau 'unity government' itu dicadangkannya untuk membolehkan negara keluar dari ketidaktentuan politik dan ekonomi yang dihadapinya kini, lapor The Star hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu memberitahu, beliau telah mengemukakan idea berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PR baru-baru ini.

Beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP DAP Lim Kit Siang.

Difahamkan Tengku Razaleigh dan Anwar telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu".

MAKLUMAT LANJUT