Sunday, August 24, 2008

BN turun harga minyak hanya untuk pikat pengundi

SUNGAI LALANG, 24 Ogos (Hrkh) - Pengumuman penurunan harga minyak oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai usaha memikat hati pengundi menjelang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Demikian lontaran pandangan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow pada ceramah sempena Expo Perpaduan Rakyat 2008 (EXPRA 08) di Taman Bandar Baru (TBB), di sini malam semalam.

"Semasa menaikkan harga minyak pada Jun lalu, kerajaan mendakwa tidak lagi mampu memberikan subsidi akibat kenaian harga minyak dunia yang tinggi.

"Tetapi oleh kerana adanya pilihan raya kecil Permatang Pauh, Perdana Menteri yang sebelum ini berjanji menurunkan harga minyak pada September, telah turunkan lebih awal," dakwa Hu.

Ujarnya, penurunan yang diumumkan kelmarin tidak membawa sebarang makna tetapi bertujuan memikat rakyat dan hati pengundi di Permatang Pauh.

"Kadar inflasi yang diumumkan baru-baru ini telah melonjak tinggi berbanding tujuh tahun sebelumnya. Ini menunjukkan rakyat tidak cukup wang untuk berbelanja," katanya menyesali.

Turut menyampaikan ceramah pada malam kedua EXPRA 08 anjuran PAS Cawangan TBB dan Majlis Tindakan DUN Bukit Selambau itu ialah seorang peguam muda, Teoh Tai Eak yang juga bekas ahli Parti Gerakan. - mr _
sumber

Sunday, August 17, 2008

PAS perlu perkukuh Pakatan Rakyat - Mursyidul Am PAS

IPOH, 17 Ogos (Hrkh) - PAS perlu memperkukuhkan Pakatan Rakyat memandangkan Umno sudah jelas tidak mahu kepada Islam dan sekiranya dibiarkan Malaysia akan menjadi seperti Turki.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak perlu hendak bermuzakarah dengan Umno memandangkan parti itu sudah jelas tidak mahu menerima Islam.

"Kalau hendak muzakarah juga kita tanya mereka sebab apa tidak mahu menerima Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi dan budaya. Kita kena tanya mereka di mana tidak kena Islam sehingga Umno tidak mahu menerimanya.

"Hanya ini sahaja yang boleh.. kalau kita hendak muzakarah dengan Umno," katanya ketika berucap mengulas usul memperkukuh Pakatan Rakyat yang dibentang wakil Dewan Pemuda pada muktamar hari terakhir pagi ini.

ImageTuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, ketika beliau hendak datang ke Perak, beliau diminta menyampaikan khutbah di sini.

Namun katanya, setelah sampai di Perak diberitahu pula beliau tidak boleh berkhutbah.

"Saya hendak tanya siapa yang tidak berikan kalau tidak Umno yang sejak dari dahulu lagi tidak mahu orang ramai mendengar ceramah agama.

"Jadi buat apa kita hendak berunding juga dengan mereka yang tidak mahu membenarkan orang ramai mendengar ceramah agama.

"Saya pun hairan, satu pihak hendak berunding dengan Umno dan satu pihak lagi hendak perkukuhkan Pakatan Rakyat, macam mana boleh berlaku sedemikian. Ini menggelirukan orang ramai," tambahnya.

Beliau juga bimbang sekiranya dibiarkan Umno terus menguasai negara, tidak dapat ditolak kemungkinan pada masa akan datang al Quran juga akan dicetak dalam bahasa Melayu seperti yang dilakukan di Turki semasa di bawah Kamal Antartuk.

Menurutnya, penyakit itu akan berlaku di Malaysia kalau kita biarkan parti itu menguasai pentadbiran negara. Beliau juga berkata, PAS dan Pakatan Rakyat perlu membuktikan orang Melayu hidup sejahtera di lima negeri yang ditadbir di bawah Pakatan Rakyat.

"Kalau Umno tiada di muka dunia ini.. orang Melayu pun tidak rosak. Di lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sekarang orang Melayu pun boleh hidup juga," katanya.

Mursyidul Am juga menegaskan penerimaan orang bukan Islam kepada Islam itu menjadi perkara utama baginya. Kata beliau orang Cina, India dan orang Asli boleh menerima perjuangan PAS sehingga mencapai kejayaan besar pada pilihan raya umum lalu. Oleh beliau sekali lagi menegaskan Pakatan Rakyat mesti diperkukuhkan.

"Kalau kita sayangkan Umno kita keluarkan mereka daripada kegelapan, yang tua-tua itu biarlah.. sudah payah, begitu juga mereka yang mempunyai duit banyak.. biarlah.

"Seperti juga kita payah hendak tebang pokok besar, kecuali dengan cara kita buangkan dahulu ranting, dahannya dan lama-kelamaan pokok besar itu akan mati juga.

"Cuma kita tumpulah kepada golongan muda dengan mengajak mereka kepada Islam," ujarnya.

Sekali lagi beliau menegaskan kalau Umno merasakan mereka cukup kuat sehingga tidak mahu menerima Islam, lebih baik buat bumi sendiri dan jangan tinggal di bumi ciptaan Allah Taala.

Pada kesempatan itu juga beliau memberitahu muktamar PAS kali ini merupakan gerbang kepada kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi. - mj/tmj _

Sukma, Munawar pernah tarik balik sumpah - Anwar

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Hrkh) - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat pelbagai percanggahan yang berlaku termasuk mempermainkan agama dalam kes yang melibatkan pertuduhan terhadap dirinya.

" Apakah wajar kita tunduk kepada perancangan segelintir komplot polis dan tokoh politik Umno dan mempermainkan al-Quran dan agama?

"Apakah isu ini selesai dengan bersumpah? Bukankan agama menetapkan beban pertuduhan pada yang membuat fitnah?" katanya yang dilihat mempersoalkan sumpah Saiful Bukahri Azlan baru-baru ini.

Kata Anwar dalam blognya perkara ini telah dirujuk ke Mahkamah Syariah menurut kaedah Islam.

"Sumpah diteruskan setelah doktor dan bukti alibi menolak sama sekali kemungkinan ia berlaku. Dalam masa sama, Saiful masih dalam kawalan polis!" katnya

Percanggahan kes ini cukup banyak kata Anwar dan mempersoalkan sama ada isu terbabit melibatkan perbuatan rela atau dipaksa malah pihak polis masih tidak menjawab penglibatan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Rosmah Mansor.

"Semua kenyataan dan tindakan dilakukan bersesuaian dengan strategi politik umno dan pilihan raya kecil.

"Pada tahun 1998 Sukma dan Munawar juga bersumpah dimahkamah tetapi menarik kembali sejurus 3 bulan sesudah itu. Sebagai Muslim, saya rujuk ka Mahkamah Syariah dan biar mereka menentukan langkah selanjutnya," katanya._

Thursday, August 14, 2008

Nik Aziz iringi Anwar di penamaan calon esok

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu akan mengiringi Dato' Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh esok.

Kehadiran Ustaz Nik Aziz untuk mengiring Ketua Umum KeADILan itu, disahkan Setiausaha Politiknya, Annual Bakhri Haron sebentar tadi.

Manakala Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sebuah hotel dekat sini malam tadi memutuskan Husam dan Mohamad sebagai wakil rasmi PAS sebagai sokongan kepada Anwar pada hari penamaan calon esok.

Dalam Pilihan Raya Kecil yang akan bermula esok hingga 26 Ogos depan, Anwar akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Dato' Ariff Shah Omar Shah.

Sebahagian besar pemimpin utama PAS tidak dapat menghadiri penamaan calon di Permatang Pauh kerana Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-54 sedang berlangsung dekat sini.

Sementara itu Pengarah PAS bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya telah mula mengatur dan menggerakkan jentera bagi membantu kempen calon Pakatan Rakyat.

"Tuan rumah kepada kempen ini adalah KeADILan, kita akan berbincang dengan mereka, bentuk peranan dan bantuan yang diperlukan.

"Jentera kita dari seluruh negara sudah dikerahkan, insya-Allah selepas muktamar berakhir Ahad ini (18 Ogos), mereka akan bertumpu ke Permatang Pauh," katanya. - mks._

Tuesday, August 12, 2008


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sudah lama teringin hendak berundur - Nik Aziz

KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh) - Selepas berjaya memimpin Kelantan lebih 18 tahun, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa segan memberitahu sudah lama teringin hendak berundur.

"Sudah lama pimpin Kelantan malu juga saya sebenarnya. Seolah-olah saya tidak pandai mengajar orang. Allahualam.

"Tetapi ketika saya hendak berhenti tiba-tiba datang masalah. Setiap isu yang berlaku saya tidak boleh duduk kalau tidak masuk campur.

"Benda besar kalau saya tidak masuk campur tangan rasa macam tidak harap. Tetapi perkara-perkara kecil sekarang Alhamdulillah," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar selepas kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah memenangi pilihan raya umum 1990.

Ketika itu PAS dan Semangat 46 mencatat sejarah apabila memenangi kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Biar pun berlaku bermacam-macam isu dan peristiwa namun beliau tetap teguh di kerusi tersebut menerajui Kelantan di bawah paksi 'Membangun Bersama Islam'.

Bagaimanapun beliau berkata, sekarang sudah cuba menonjolkan pemimpin muda sebagai pelapis bagi mengganti tempatnya.

"Dahulu tiap-tiap kuliah pada pagi Jumaat hanya saya seorang yang kendalikan. Sekarang sudah dedahkan beberapa pemimpin pelapis.

"Kuliah tersebut diadakan selama dua jam, di mana sejam dikendalikan pemimpin lain. Kalau tidak ada Nik Aziz sudah ada Nik Aziz kedua atau ketiga," katanya.

Ditanya mungkin ada orang tertentu bakal menggantinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, memang ada.

Sunday, August 10, 2008

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan - Presiden

GELUGOR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain. - mks. _