KUALA TERENGANU, 15 Dis (Hrkh) - Kerajaan Terengganu belum menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat berhubung royalti petroleum dan gas tahun 2000 kerana perundingan penyerahan royalti masih berjalan.
Apa yang dimaksudkan secara langsung tidak diketahui kerana sejak tarikh itu kerajaan Terengganu tidak lagi menerima wang royalti berkenaan seperti sebelumnya melainkan lebih RM400 juta diawal tahun berkenaan.
Bagaimanapun Dato' Ahmad berkata bayaran itu termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di sini, semalam.
"Pada masa ini, kerajaan Terengganu sedang menunggu senarai penuh perbelanjaan digunakan oleh kerajaan Pusat, yang melibatkan wang royalti minyak itu," katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) yang ingin tahu jumlah wang royalti minyak yang diterima kerajaan Terengganu dari 2000 hingga 2008, pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-12, di sini semalam.
Ahmad berkata setakat ini, Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.
Beliau berkata RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain.
"Jumlah keseluruhan wang yang digunakan ini adalah sebanyak RM1.5 bilion.
Wang ini akan dituntut kembali kerana beberapa senarai lain yang kita kehendaki masih belum disahkan oleh Kementerian Kewangan.
"Insya-Allah, setelah kita mendapat senarai lengkap ini, rundingan terakhir dengan kerajaan Pusat untuk menuntut kembali hak kita, iaitu baki yang ada dapat dilaksanakan," katanya.
Ahmad berkata kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.
"Sebab itu, sehingga kini kita belum menarik balik saman kerajaan Terengganu terhadap kerajaan Pusat," katanya menjawab soalan tambahan Dato' Harun Taib (PAS-Manir), yang ingin tahu kenapa wang royalti itu disimpan kerajaan Pusat.
0 comments:
Post a Comment