Monday, December 22, 2008

4,749 pekerja bakal diberhentikan

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Hrkh)- Angka yang membimbangkan. Keadaan semakin 'kronik' dan seolah-olah membuktikan ekonomi dalam keadaan yang parah apabila kira-kira 102 syarikat telah memohon kepada Jabatan Buruh dan 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh tiga bulan, mulai Januari 2009.

Menurut laporan majikan yang bercadang memberhentikan pekerja, memotong gaji atau menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) perlu memberitahu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) 30 hari lebih awal.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam berkata majikan wajib mengisi Borang Pemberhentian Kerja yang boleh didapatkan di pejabat-pejabat JTK atau dimuat turun di http://jtksm.mohr.gov.my.

Beliau berkata majikan yang ingkar boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.

"Kita telah menubuhkan pusat tindakan di setiap daerah bagi memantau syarikat-syarikat atau majikan yang mungkin menghadapi kesulitan kewangan semasa situasi ekonomi sekarang.

"Pegawai-pegawai kita akan melawat syarikat-syarikat ini dan menyediakan laporan mingguan yang akan dihantar ke pejabat negeri dan kemudian disusun di peringkat pusat.

"Ini akan membolehkan pasukan kita di peringkat bawah menentukan bahawa majikan memenuhi tanggungjawab mereka terhadap pekerja," katanya.

Bernama melaporkan Subramaniam berkata kementeriannya akan memastikan syarikat-syarikat membayar pampasan sewajarnya kepada pekerja yang diberhentikan iaitu gaji 10 hari bagi yang bekerja kurang dari dua tahun; 15 hari gaji bagi yang bekerja dua hingga lima tahun; dan 20 hari kerja bagi yang lebih dari lima tahun.

Beliau berkata kira-kira 102 syarikat telah memohon kepada Jabatan Buruh dan 4,749 pekerja akan diberhentikan dalam tempoh tiga bulan, mulai Januari 2009, dengan kebanyakan mereka dari sektor elektronik.-azm _

0 comments: