KOTA BHARU, 3 Dis (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan datang.
"Kalau boleh saya nak begitu, (kekal calon) sebab di Parlimen ni kena ada orang sepeti Mat Sabu (Mohamad) kerana lidah dia lantang, isu yang ditonjolkannya juga bukan dibuat-buat, tetapi realiti.
"Saya sudah lama menjadi penceramah dan sekarang pun saya masih berceramah, tetapi lidah saya tidak sehebat Mat Sabu,"ujarnya.
Tambahnya, itu berlaku kerana setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing,
"Saya ada cara saya, tetapi kalau di Parlimen ni baik Mat Sabu,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau juga berkeyakinan Mohamad akan bergelar 'yang berhormat' selepas itu kerana akan mendapat kemenangan dalam pilihan raya kecil itu walaupun tewas baru-baru ini berdasarkan perkembangan semasa.
Lagipun katanya, tiada sebab orang Melayu dan Islam itu sendiri tidak memilih perjuangan PAS.
Sambungnya, bagaimanapun keputusan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti belum lagi diputuskan memandangkan mesyuarat berhubung dengannya belum diadakan.
"Itu (cadang pilih Mohamad Sabu), hanya pandangan peribadi saya saja, keputusannya hanya akan ditentukan dalam mesyuarat PAS Pusat nanti,"ujarnya lagi. - mks. _
0 comments:
Post a Comment