Tuesday, December 23, 2008

Pendedah Eurocopter, Abu Zahar sertai PAS hari ini

KUALA LUMPUR,24 Dis (Hrkh) - Bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Dato' Abu Zahar Hashim yang dikenali ramai sejak mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter sah menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi tadi.

Dalam masa yang sama Zahar turut 'mewakafkan' (infak) pejabat Bahagian Umno PJ Selatan kepada PAS kawasan sama. Difahamkan pejabat tersebut adalah milik beliau sendiri.

Sementara itu, Ustaz Nasharuddin mengalu-alukan kesudian beliau menyertai PAS sekaligus menghargai Zahar untuk sama-sama membantu kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu bermula 5 sehingga 17 Januari depan.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.-azm

0 comments: