Tuesday, December 23, 2008

Analogi hudud kelantan dan terengganu

Analogi Perkembangan Undang-undang Hudud Negeri Kelantan dan Terengganu Sehingga Diwartakan. Selepas Parti SeIslam Malaysia (PAS) berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pilihanraya 1990 dengan majority, Menteri Besar Kelantan Y.A.B Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menegaskan bahawa beliau akan memperkenalkan undang-undang hudud di negeri tersebut sebagai mengotakan janji beliau semasa pilihan raya. Pada 25 November 1993 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri oleh Y.A.B Tuan Guru Dato Seri Haji Nik Aziz Nik Mat. Dengan berkat Allah s.w.t, rang undang-undang hudud tersebut diluluskan dengan kesemua 39 ahli Dewan Undangan Negeri menyokong usul tersebut termasuk dua ahli dari parti pembangkang. Dengan pelulusan Rang undang-undang tersebut bermakna negeri Kelantan merupakan negeri pertama memperkenalkan Undang-undang Hudud di Malaysia selepas merdeka.

Rang undang-undang hudud tersebut telah mendapat perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan. Kerajaan pimpinan PAS hanya berupaya memperkenalkan rang undang tersebut selepas mendapat kemenangan selesa dalam pilihan raya.Satu suruhanjaya yang diketuai oleh peguam Tuan Haji Sulaiman Abdullah turut diwujudkan bagi menyiasat keesahan Rang Undang itu dan hasilnya,mereka sepakat bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 adalah tidak bercanggah dengan syariah.(4)

Hudud Kelantan merangkumi tujuh puluh dua perihal dan lima bahagian jadual yang dibahagikan kepada enam bahagian. Ianya ialah kesalahan hudud, qisas, jenayah, pelaksanaan hukuman, provisi am dan prosiding mahkamah syariah. Hukuman hudud dalam bahagian satu terbahagi kepada enam perihalan iaitu hirabah, zina, qazaf ( tuduhan terhadap kesalahan zina dimana tidak boleh dibawa 4 orang saksi), shrub (kesalahan minum arak) dan murtad (keluar agama Islam). Sebenarnya idea untuk melaksanakan hudud ini telah digagaskan oleh Menteri Besar Kelantan sejak kerajaan telah melahirkan hasrat untuk memperkenalkan hukuman hudud pada tahun 1991 lagi. Pengenalan hukuman hudud ini merupakan satu tindakan yang sangat berani dalam menegakkan kedaulatan agama Islam bahawa dengan pengenalan Kanun Jenayah Syariah II 1993, ianya telah melangkau bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri Kelantan juga mengumumkan bahawa Rang undang-undang tersebut disediakan oleh satu jawatankuasa dan disemak serta diluluskan oleh Jemaah Ulama Islam Negeri dan Majlis Melayu (MAIK) dan mufti negeri selepas mengambil kira semua aspek dalam Syariah Islam. Sejajar dengan itu, MAIK telah mengadakan pertemuan denagan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baik Islam dan bukan Islam untuk menerangkan fungsi undang-undang Hudud ini. Malah sami-sami Buddha terpegun dengan penjelasan Tuan Guru dan menerima rang undang-undang ini dengan sebulat hati selepas mendapati ianya tidak terpakai kepada orang bukan Islam. Namun orang bukan Islam boleh dibicarakan dibawah undang-undang Islam jika mereka merelakannya. Di sini menunjukkan bahawa undang-undang hudud ialah satu rang undang-undang yang adil dan saksama pelaksanaannya kepada semua pihak.

Namun Rang undang-undang hudud tidak dapat dikuasakan kerana mendapat bantahan keras daripada kerajaan persekutuan atas alasan undang-undang hudud tersebut bercanggah dengan undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakannya sebelum disetujui oleh Kerajaan Pusat.Merujuk kata-kata Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 20 April 1992 yang mnyatakan bahawa,"Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu."

artikel penuh

0 comments: